X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Dewan Rakyat kecoh pertikai usul Takiyuddin

Persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila beberapa ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan usul menghentikan beberapa peraturan mesyuarat yang dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan. Gambar hiasan.
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila beberapa ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan usul menghentikan beberapa peraturan mesyuarat yang dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon sebelum itu meluluskan empat usul yang dikemukakan Takiyuddin setelah mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

Takiyuddin membawa usul supaya mesyuarat pada Isnin ini hingga 15 Disember depan bersidang dari jam 10 pagi hingga 2 petang.

Beliau juga mencadangkan Persidangan Kamar Khas bagi tempoh sama diawalkan dari jam 12 tengah hari hingga 2 petang atau setelah selesai aturan urusan mesyuarat kamar khas itu.

"Saya juga usulkan agar kuat kuasa Peraturan Mesyuarat 24(3) dan 24(5) dihentikan bagi membolehkan tempoh pertanyaan jawapan lisan dipendekkan.

"Tempoh pertanyaan yang lazimnya sejam 30 minit dipendekkan kepada sejam sahaja pada Isnin dan Rabu dan kepada 55 minit pada Selasa dan Khamis dengan satu pertanyaan tambahan bagi sesi pertanyaan jawapan lisan mulai Isnin hingga 15 Disember depan," katanya.

Beliau juga meminta agar Peraturan Mesyuarat 24(5A), 24A5 dan 24A(7) dihentikan bagi membolehkan sesi pertanyaan menteri dipendekkan kepada lima minit yang mana jawapan soalan akan diberi secara bertulis dengan tiada pertanyaan tambahan mulai Selasa depan hingga 15 Disember.

Khalid Samad (PH-Shah Alam) mempertikaikan usul itu yang akan dilaksanakan sehingga 15 Disember kerana menganggap tempohnya panjang.

Beliau juga menyindir keadaan itu seolah-olah menggambarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mampu menangani pandemik koronavirus (Covid-19).

"Apa akan berlaku sekiranya dalam masa dua minggu, tiba-tiba kes turun, jumlahnya berkurangan.

"Adakah kita akan membenarkan satu usul baharu untuk kembali kepada sistem biasa atau kita dah buat keputusan memang kerajaan tak pandai tangani Covid-19," bidasnya.

Keadaan lebih panas apabila beberapa lagi ahli Parlimen pembangkang iaitu Fuziah Sallah (PH-Kuantan) dan Neo Nie Ching (PH-Kulai) turut bangun bertanyakan soalan.

Fuziah mengemukakan soalan sama ada perlu satu rang undang-undang diluluskan sekiranya kerajaan mahu membuat persidangan secara maya.

Menjawab soalan itu, Takiyuddin berkata, Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun sedang meneliti cadangan untuk melaksanakan sidang Dewan Rakyat secara digital.

"Kalau perkara ini dirasakan boleh dilakukan secepat mungkin, ia akan dilakukan tanpa perlu rang undang-undang," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!