Masa terbaik kerajaan lulus pengeluaran KWSP

Kamaruddin Md Salleh
Kamaruddin Md Salleh
A
A
A

KUANTAN - Kelab Anak Pahang Sejati (Kapas) berpendapat ketika ini adalah masa terbaik untuk kerajaan meluluskan pengeluaran simpanan daripada akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Setiausahanya, Lt Kol (B), Kamaruddin Md Salleh berkata, ia berikutan rata-rata rakyat cukup terkesan apabila kehidupan mereka kian terhimpit ekoran penularan pandemik koronavirus (Covid-19) yang belum pasti bila akan berakhir.

Menurutnya, dalam keadaan ini wang simpanan KWSP yang dikeluarkan dapat digunakan untuk menampung keperluan hidup pencarum yang terkesan dengan pandemik itu.

"Justeru kita memohon kerajaan mempertimbangkan kelonggaran bagi pengeluaran simpanan daripada akaun satu KWSP ini sebagaimana yang dicadangkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

"Selain dapat mengurangkan beban kehidupan rakyat, segala perbelanjaan daripada wang tersebut turut membantu menggerakkan ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan mencadangkan supaya pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan mengeluarkan RM10,000 daripada akaun satu bagi membantu mereka yang terkesan akibat wabak Covid-19.

Cadangan itu mendapat sokongan pelbagai pihak yang rata-rata melihat idea itu cukup bernas dalam membantu meringankan beban rakyat yang terkesan termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan kerajaan sedang mengkaji saranan untuk membenarkan pencarum tertentu mengeluarkan dana daripada akaun satu KWSP.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau telah berbincang dengan Kementerian Kewangan dan pada dasarnya kerajaan bersetuju serta bersedia untuk mengkaji cadangan itu.