X

Kindly register in order to view this article
!

KDN dedah punca kenapa ada kakitangannya terjebak rasuah

Hamzah (kanan) bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki pada majlis pelancaran buku Pelan Anti Rasuah Organisasi KDN di sini hari ini. - Foto KDN
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) tidak menolak kemungkinan aktiviti penguatkuasaan yang tidak mencukupi menyebabkan anggota di bawah kementerian itu terjebak dengan rasuah.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya menyedari terdapat ruang yang boleh menyebabkan unsur-unsur rasuah itu berlaku.

"Kenapa ada ruang? Mungkin tidak cukup dari segi penguatkuasaan," katanya pada wawancara khas secara dalam talian sempena pelancaran Buku Pelan Anti Rasuah Organisasi KDN, hari ini.

Menurutnya, kementerian juga melihat sudut advokasi bagi memberi pendidikan mengenai rasuah secara menyeluruh.

"Kalau tiada yang memberi sudah tentu tiada yang menerima," katanya.

Beliau turut menegaskan pematuhan diri (self compliance) dalam setiap anggota dan pegawai perlu disemai.

"Kita sebagai Muslim semasa kecil telah diajar untuk mendirikan solat, akhirnya kita tunaikannya tanpa disuruh," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilihat berjaya membanteras rasuah.

"Terima kasih, SPRM telah melakukan tindakan paling baik dalam waktu ini. Bukan hanya penguatkuasaan, tetapi risikannya juga sangat baik," katanya.

Mengulas mengenai Pelan Anti Rasuah Organisasi KDN, beliau berharap buku berkenaan memberi peringatan kepada semua pihak.

"Sekurang-kurangnya apabila ada di atas meja, ia memberi peringatan kepada kita," katanya.

Buku Pelan Anti Rasuah KDN 2020-2024 yang dilancarkan itu mempunyai 33 inisiatif untuk mencegah amalan rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan dalam kementerian itu.

Ia merangkumi empat bidang keutamaan iaitu tadbir urus kementerian, pentadbiran sektor awam, perolehan kementerian dan penguatkuasaan undang-undang.

Setiap inisiatif yang digariskan dalam buku tersebut perlu dilaksanakan dalam tempoh empat tahun oleh semua bahagian dan agensi dalam KDN.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!