Geng Apih Kapak aktif curi di MR DIY tumpas

Mohamad Noor Yusof
Mohamad Noor Yusof
A
A
A

KUANTAN - Lima lelaki yang dipercayai ahli 'Geng Apih Kapak' yang aktif mencuri di kedai perkakasan rumah (MR DIY) sejak Ogos lalu tumpas dalam tangkapan secara berasingan di sekitar Pahang dan Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 33 tahun ditahan dalam operasi yang diadakan selama lima hari bermula 19 hingga 23 Oktober lalu.

Menurutnya, penahanan kesemua suspek termasuk ketua kumpulan itu telah menyelesaikan 11 kes jenayah pecah kedai perkakasan di sekitar Terengganu dan Pahang.

"Daripada 11 kes itu, tujuh kes dilaporkan berlaku di Pahang membabitkan nilai kerugian RM40,000 dan empat kes di Terengganu," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan ini ialah dengan memecah masuk kedai berkenaan setelah kedai ditutup dan menyasarkan wang tunai yang ada di dalam peti tunai kedai berkenaan.

Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati dua ahli kumpulan ini akan memasuki kedai perkakasan itu melalui tingkat tandas kedai dengan cara mengumpil jeriji yang dipasang.

“Saya difahamkan, mereka ini kemudiannya akan menggunakan peralatan yang ada di dalam kedai untuk membuka peti tunai yang ada,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Noor berkata, pihak polis turut merampas sebuah kereta jenis Honda, satu unit telefon bimbit, satu unit pemutar skru, satu unit mesin gerudi, satu unit perakam rakaman kamera litar tertutup (CCTV), tiga helai baju pelbagai jenama dan sehelai seluar jeans.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kesemua suspek juga didapati positif penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine selain mempunyai kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Kesemua mereka yang tidak bekerja ini kini ditahan reman dan akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.