Shafie cadang lima langkah pemulihan ekonomi

Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal
A
A
A

KOTA KINABALU - Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mencadangkan lima rancangan untuk pemulihan ekonomi yang berorientasikan rakyat bagi tempoh dua tahun ini.

Lima rancangan itu adalah termasuk melindungi kehidupan rakyat, melindungi sumber pendapatan rakyat, membantu perniagaan kekalkan dan mengambil pekerja, kurangkan kos perniagaan dan kemudahan aliran tunai serta penempatan pekerjaan.

Beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, campur tangan mengenai kesihatan tidak akan disentuh dalam cadangan ini namun ia amat penting supaya kes koronavirus (Covid-19) dapat diturunkan dengan ketara kerana tanpa pengurusan terhadap kesan kesihatan, pemulihan ekonomi tidak mungkin dapat dicapai.

Katanya, objektif rancangan pemulihan ekonomi adalah untuk memastikan wabak Covid-19 dapat diurus, yang terjejas dapat meneruskan kelangsungan hidup, syarikat dapat meneruskan perniagaan dan rakyat menganggur dapat pekerjaan.

"Pertama, melindungi kehidupan iaitu pemulihan ekonomi tidak dapat dilaksanakan sekiranya masalah kesihatan tidak dapat diselesaikan dan bantuan ke arah menangani pandemik harus menjadi keutamaan.

"Kementerian serta agensi berkaitan harus diberi sumber kewangan yang mencukupi meliputi peralatan dan tenaga kerja manakala vaksin pula harus diberikan kepada semua rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Mohd Shafie lagi, pemulihan ekonomi yang kedua adalah melindungi sumber pendapatan rakyat memandangkan ramai yang terjejas dan perlu ada langkah segera bagi memastikan mereka selamat serta mempunyai wang ditangan ketika berhadapan dengan pandemik di mana kos bantuan ini memerlukan kira-kira sebanyak RM50 bilion setahun.

"Bantuan tunai bulanan sebanyak RM750 sebulan untuk selama 12 bulan akan datang untuk semua keluarga daripada golongan B40 dan RM500 sebulan untuk isi rumah M40, serta ibu tunggal, warga tua, golongan orang kurang upaya (OKU) serta bagi yang tiada tempat tinggal.

Artikel Berkaitan:

"Ia akan merangkumi hampir 90 peratus seluruh rakyat Malaysia membabitkan penerima berusia 18 tahun ke atas yang berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Simpanan Wang pekerja (KWSP) serta pemegang Mykad.

"Bagi menjimatkan kos, semua 110 program bantuan dan keselamatan sosial yang dikendalikan sekurang-kurangnya daripada 30 agensi kerajaan dan kementerian harus digabungkan serta diselaraskan di bawah Kementerian Wanita dan Keluarga," katanya.

"Selain itu, bagi membantu mereka yang menganggur kerana pemberhentian kerja atau penamatan kontrak kecuali yang menerima faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), harus diberi wang bulanan sehingga RM1,000 selama enam bulan.

"Bagi membantu keluarga yang memerlukan wang kecemasan, kredit mikro kecemasan diberikan kepada mereka yang terjejas dengan pinjaman maksimum sebanyak RM2,500 tanpa faedah untuk membina semula kehidupan mereka.

"Program Rancangan Makanan Tambahan juga perlu diperluaskan di semua sekolah kerajaan dan dijadikan sebagai program tetap," katanya.

Mengulas lanjut bagi rancangan seterusnya, Mohd Shafie berkata, rancangan pemulihan ekonomi harus membantu semua peniaga beberapa bantuan akan diberikan dengan membabitkan kos sebanyak RM45 bilion.

"Selain itu, langkah yang lain termasuk mengurangkan kos perniagaan dan kemudahan aliran tunai bagi isi rumah dan syarikat dengan dua teras utama yang dicadangkan.

"Cadangan yang kelima adalah menempatkan pekerjaan iaitu menggalakkan syarikat beroperasi bagi menanggani masalah pengangguran di negara ini menerusi beberapa program yang dilaksanakan dengan menelan belanja sehingga RM20 bilion," katanya.

Beliau dalam pada itu turut menekankan perhatian khusus harus diberikan kepada Sabah memandangkan ia salah satu negeri yang termiskin di Malaysia.

"Sabah juga mempunyai angka yang tinggi kes Covid-19 dan kesannya semua isi rumah dan perniagaan terjejas. Oleh itu untuk membantu semua pihak, memerlukan bantuan tambahan.

"Kerajaan Persekutuan juga harus menyediakan pinjaman tanpa faedah, ini bagi membantu pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) yang terjejas teruk oleh krisis ekonomi," katanya.

Terdahulu, difahamkan, semua cadangan itu akan dikemukakan kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat ini.