Nafas pemborong tunggal IBPS

Dr Ronald Kiandee
Dr Ronald Kiandee
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai pemborong tunggal melalui program Insentif Benih Padi Sah (IBPS) dengan pembekalan diedarkan terus kepada pesawah.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pelantikan Nafas tersebut antara inisiatif pihak kementerian yang akan dilaksanakan bermula tahun depan bagi menangani isu pengedaran benih padi sah.

Menurutnya, ia suatu kaedah penyelesaian terbaik dan bersepadu kerana Nafas mempunyai kecekapan rantaian pengedaran benih padi sah melibatkan 148 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Semenanjung.

“Pada masa sama, Nafas akan memberi ruang kepada ejen, individu atau syarikat sedia ada yang berdaftar dengan pihak kementerian untuk mengedarkan benih padi.

“Nafas juga mempunyai sumber kewangan yang kukuh serta kemampuan dan pengalaman dalam pengedaran Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) di seluruh negara.

“Pelantikan Nafas juga membolehkan penetapan harga siling benih padi sah dilaksanakan tanpa melibatkan tambahan peruntukan insentif, sekaligus mengelak manipulasi benih padi sah dan harga di lapangan menerusi pembelian tanpa kawalan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap-UMNO).

Mengulas lanjut katanya, antara inisiatif lain ialah pemberian lesen dan permit kepada ejen, individu atau syarikat yang berdaftar dengan kerajaan untuk mengedarkan benih padi sah.

Artikel Berkaitan:

Selain itu ujarnya, penetapan beberapa varieti benih padi yang akan dihasilkan oleh syarikat pengeluar benih padi sah untuk dipilih oleh pesawah serta menyediakan stok penimbal bagi menangani isu krisis seumpama itu.