X

Kindly register in order to view this article
!

Kempen guna loghat tempatan

Mohd Nor (tengah) menyampaikan gegantung kempen kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Yahaya Ali (kanan) sambil diperhatikan Ahmad Ammar. Mohd Nor (tengah) menyampaikan gegantung kempen kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Yahaya Ali (kanan) sambil diperhatikan Ahmad Ammar.
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu memuji pendekatan yang digunakan Jabatan Penerangan Negeri (JaPen) Terengganu yang menggunakan loghat tempatan dalam meningkatkan keberkesanan penyampaian tentang bahaya pandemik koronavirus (Covid-19).

Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, selaku agensi yang berperanan menyampaikan maklumat terus ke peringkat akar umbi, JaPen Terengganu proaktif melaksanakan hebahan pembudayaan normal baharu dalam mengekang penyebaran Covid-19.

Menurutnya, hebahan menggunakan kaedah ‘Info On Wheels’ (IOW) dan Program Sepakat @ Komuniti yang melibatkan lapan daerah meliputi keseluruhan lapan Parlimen dan 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu membolehkan maklumat disalurkan kepada golongan sasar.

“Saya difahamkan, bermula 1 September hingga 31 Oktober, JaPen Terengganu telah melaksanakan sebanyak 222 kali IOW di 814 lokasi dengan jangkauan audien seramai 49,615 orang dan 24 kali Sepakat @ Komuniti yang melibatkan 4,800 orang di seluruh Terengganu.

“Hebahan IOW pula dilaksanakan melalui pembesar suara dan kekerapan secara purata sebanyak 20 kali sebulan menerusi kenderaan unit bergerak JaPen dan setiap hebahan IOW, sasarannya adalah 40 hingga 50 anggota masyarakat.

“Program Sepakat @ Komuniti yang melibatkan penyertaan masyarakat setempat juga sangat berjaya dengan kehadiran maksimum 200 peserta, mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan melibatkan pemimpin setempat bersama masyarakat, pemegang taruh, majlis permuafakatan komuniti kampung, persatuan belia dan badan bukan kerajaan,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pelancaran Kempen Pembudayaan Normal Baharu Peringkat Terengganu di Wisma Darul Iman di sini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Ahmad Ammar Othman.

Mengulas lanjut, Mohd Nor berkata, kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kawalan kendiri dalam kalangan masyarakat.

Jelasnya, kempen yang dijalankan bukan sahaja melibatkan kawasan bandar tetapi juga di pedalaman, kawasan orang asli dan kawasan tumpuan ramai.

“Rakyat perlu terus bekerjasama dengan kerajaan khususnya para petugas kesihatan dan penguat kuasa undang-undang untuk memastikan normal baharu diamalkan bagi memutuskan rantaian wabak ini.

“Usaha membudayakan normal baharu dalam kalangan rakyat menjadi tugas dan tanggungjawab setiap daripada kita.

“Sebagai warganegara yang bertanggungjawab dalam memutuskan rantaian Covid-19, kita perlu terus mempraktikkan amalan kebiasaan baharu dengan mematuhi garis panduan seperti dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

JaPen Terengganu masuk ke ceruk kampung dan bandar membuat hebahan tentang pandemik Covid-19.
JaPen Terengganu masuk ke ceruk kampung dan bandar membuat hebahan tentang pandemik Covid-19.

Dalam pada itu Mohd Nor berkata, Kerajaan Terengganu masih mengekalkan SOP yang sama bagi orang ramai yang ingin menunaikan ibadah dan aktiviti di masjid dan surau, sebagaimana yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, pihaknya yakin SOP yang dibuat ketika ini terbaik dan orang ramai sudah terbiasa dengan amalan normal baharu.

Malah katanya, masjid adalah tempat yang mudah untuk dikawal berbanding pasar dan pasar raya yang sentiasa sesak.

“Kuliah juga berjalan seperti biasa namun mengikut SOP. Kalau melibatkan jamuan, kita akan bungkus makanan dan minuman dahulu sebelum diagihkan.

“Buat masa ini, kita akan mengikut normal dan SOP yang ditetapkan melainkan MKN dan KKM mengeluarkan

kaedah baharu,” katanya di sini semalam.

Mohd Nor juga menyeru agar pemimpin masyarakat, ketua agama, pemimpin badan bukan kerajaan dan ahli jawatankuasa kariah surau dan masjid agar memainkan peranan masing-masing.

“Dengan kerjasama padu dan peranan kepimpinan masyarakat, maka kita akan mampu memutuskan rantaian jangkitan wabak ini,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!