Hanya 80 ahli Parlimen dibenarkan masuk Dewan Rakyat

Jumlah ahli Parlimen yang dibenarkan berada di Dewan Rakyat akan dihadkan kepada 80 orang pada satu-satu masa mulai Isnin ini sehingga tamat tempoh sesi persidangan.
Jumlah ahli Parlimen yang dibenarkan berada di Dewan Rakyat akan dihadkan kepada 80 orang pada satu-satu masa mulai Isnin ini sehingga tamat tempoh sesi persidangan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Jumlah ahli Parlimen yang dibenarkan berada di Dewan Rakyat akan dihadkan kepada 80 orang pada satu-satu masa sepanjang tempoh persidangan sesi kali ini termasuk ketika pembentangan Belanjawan 2021 esok.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat Berikutan Penularan koronavirus (Covid-19) semalam.

Beliau berkata, pecahan pembahagian yang ditentukan ialah 41 pihak kerajaan dan 39 pihak pembangkang dan Bebas.

"Penentuan ahli Yang Berhormat yang boleh berada dalam Dewan Rakyat akan ditetapkan oleh parti masing-masing.

"Setiausaha Dewan Rakyat akan akan memberikan kad khas tersebut kepada Yang Berhormat Kota Bharu (Datuk Takiyuddin Hassan) untuk diselaraskan kehadiran di pihak anggota pentadbiran dan ahli-ahli Backbenchers.

"Di pihak pembangkang, kad khas ini akan diberikan kepada Yang Berhormat Sungai Petani (Datuk Johari Abdul) untuk kehadiran ahli-ahli pembangkang dan Bebas," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Pemasyhuran beliau itu dibaca oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Menurut Azhar, semua 80 ahli Parlimen yang diberikan kad khas itu perlu merekodkan kehadiran di komputer riba masing-masing seperti kebiasaan.

Katanya, ahli-ahli Parlimen yang tidak diberikan kad khas pula boleh merekodkan kehadiran di Pintu 3 Blok Utama dan pintu masuk Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran dengan bantuan Bentara yang ditugaskan di kedua-dua pintu tersebut.

Artikel Berkaitan:


"Bagi proses pengundian belah bahagian, loceng akan dibunyikan selama dua minit diikuti dengan penempohan selama 10 minit dan kemudian loceng akan dibunyikan selama dua minit lagi seperti mana yang telah dilakukan pada Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14.

"Untuk proses ini, kesemua ahli-ahli Parlimen dibenarkan untuk berada di dalam Dewan," katanya.