SAR lelaki hilang dibawa arus diteruskan pagi ini

Laporan Sinar Harian berkenaan lelaki dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir kilat di Jalan Rasah, Taman Happy, di sini semalam.
Laporan Sinar Harian berkenaan lelaki dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir kilat di Jalan Rasah, Taman Happy, di sini semalam.
A
A
A

SEREMBAN - Operasi pencarian seorang lelaki dilaporkan hilang dipercayai dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir kilat di Jalan Rasah, Taman Happy, di sini semalam diteruskan hari ini pada jam 9.30 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohamad Idris berkata, lokasi pencarian akan bermula di Pengkalan Kempas, Port Dickson sehingga ke Kuala Sawah.

Menurutnya, operasi itu melibatkan seramai 25 orang termasuk pasukan dari Unit Anjing Pengesan (K9).

"Strategi lokasi pencarian kita bermula di Pengkalan Kempas kerana kita punya andaian kemungkinan mangsa hanyut hingga ke sana.

"Kita berharap ia berhasil dan mangsa akan ditemukan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pagi tadi.

Semalam, Sinar Harian melaporkan operasi pencarian mangsa dilakukan sehingga ke kawasan Sungai Linggi dengan skop pencarian meliputi jarak kira-kira 12 kilometer dari tempat mangsa didakwa hilang.

Berdasarkan maklumat awal yang diterima daripada pihak polis, mangsa adalah seorang lelaki berusia sekitar 20-an dan identitinya masih belum dikenal pasti.

Bagaimanapun, operasi pencarian setakat malam tadi masih belum menemui sebarang petunjuk.

Artikel Berkaitan: