Dua hari hilang, buruh ditemui mati dalam parit

Penemuan mayat seorang lelaki yang tular di laman sosial selepas dilaporkan hilang sejak dua hari lalu. (Gambar kecil: Mohamad Roy)
Penemuan mayat seorang lelaki yang tular di laman sosial selepas dilaporkan hilang sejak dua hari lalu. (Gambar kecil: Mohamad Roy)
A
A
A

PASIR MAS - Misteri kehilangan seorang buruh akhirnya terungkai apabila dia ditemui mati di dalam sebuah parit di Kampung Simpol, Tok Uban semalam.

Mayat Ismail Ab Ghani, 26, ditemui pada jam 3 petang oleh orang awam bersama motosikal yang ditunggangnya selepas dilaporkan hilang hampir dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata, pada Isnin lalu mangsa dikatakan telah keluar dari rumahnya di Kampung Simpol pada jam 7 petang.

"Mangsa keluar dari rumah dengan menunggang motosikal untuk membeli rokok, namun selepas itu dia tidak pulang.

"Selepas gagal menghubungi mangsa melalui telefon bimbit, keluarganya telah datang ke balai untuk membuat laporan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, jenazah mangsa kemudian telah dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, hasil siasatan dijalankan mendapati kematian mangsa tidak mempunyai kaitan dengan unsur-unsur jenayah.

"Semakan rekod lampau didapati mangsa tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan dadah," katanya.

Artikel Berkaitan: