Pelajar pecah masuk stesen minyak kerana dadah

Antara barangan yang ditemui bersama suspek ketika ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pasir Mas di rumahnya di Kampung Chat, Pasir Mas kelmarin. (Gambar kecil: Mohamad Roy)
Antara barangan yang ditemui bersama suspek ketika ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pasir Mas di rumahnya di Kampung Chat, Pasir Mas kelmarin. (Gambar kecil: Mohamad Roy)
A
A
A

PASIR MAS - Hanya semata-mata ingin mendapatkan wang untuk tujuan membeli bekalan dadah, seorang remaja lelaki bertindak memecah masuk sebuah stesen minyak di Meranti, di sini kelmarin.

Pelajar Tingkatan Tiga itu bagaimanapun berjaya dicekup anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di rumahnya di Kampung Chat bersama barangan rampasan pada jam 9.50 malam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, dalam kejadian terbabit, pengurus stesen minyak itu telah menerima panggilan daripada pekerjanya yang memberitahu premis tersebut dipecah masuk pada jam 6.45 pagi,.

"Sejurus sampai, pengurus stesen mendapati cermin di kaunter bayaran telah pecah dan barangan di dalam kedai berada dalam keadaan bersepah.

"Jumlah kerugian barangan dan kerosakan premis dianggarkan berjumlah RM15,000," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan perbuatan tersebut secara bersendirian.

Suspek juga katanya, mengaku mencuri barangan seperti rokok dan kad tambah nilai namun telah dijual kepada rakan-rakannya dengan harga di bawah pasaran.

"Hasil jualan tersebut telah digunakan untuk membeli dadah.

Artikel Berkaitan:

"Suspek telah direman selama enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan," katanya.

Mohamad Roy Suhaimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Katanya, bagaimanapun suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.