Bersih jangan jadi ‘perkakas’ PH

Asyraf Wajdi dan Thomas Fann (kanan).
Asyraf Wajdi dan Thomas Fann (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Umno mengingatkan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) 2.0 supaya meneliti kembali perjuangan asal penubuhan badan bukan kerajaan (NGO) itu sekiranya tidak mahu dianggap sebagai ‘perkakas’ PH.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana tuduhan yang dibuat NGO itu bahawa parti BN paling banyak melakukan kesalahan serta memainkan sentimen perkauman dan agama pada PRK Cameron Highlands dilihat senada dengan PH.

“Pengerusi Bersih, Thomas Fann juga secara prejudis mengaitkan ceramah saya ketika bersama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan mendakwa saya dan Ketua Dewan Pemuda Pas memainkan isu perkauman dan agama.

“Persoalannya apakah perkongsian mengenai kedudukan Islam dan Melayu-Bumiputera sebagaimana yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa menyentuh hak dan kedudukan agama mahupun bangsa lain begitu mudah dituduh perkauman?

“Kalau benar Bersih ini bersifat berkecuali dan bukan alat perkakas PH, kenapa tidak turut mendedahkan secara menyeluruh kesalahan pilihan raya dan kempen perkauman yang dimainkan oleh DAP-PH?,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 23 kesalahan sepanjang PRK Cameron Highlands

Menurutnya lagi, sebagai NGO yang membawa misi ‘adil’ dan ‘besih’mereka seharusnya perlu mengambil tindakan sama rata terhadap mana-mana parti yang melakukan kesalahan ketika kempen pilihan raya.

“Jika Bersih merupakan badan berkecuali dan tidak lagi menjadi alat PH sejak mereka menjadi pembangkang lagi, maka Bersih tidak boleh terus membutakan mata, menulikan telinga (apabila PH melakukan kesalahan).

Artikel Berkaitan:

“Bersih harus tegas bukan sahaja mengetengahkan kesalahan-kesalahan PH kepada pihak berkuasa tetapi turut mendesak mereka mengambil tindakan segera terhadap segala laporan kesalahan pilihan raya calon dan jentera kempen PH. Buktikan Bersih tidak lagi menjadi alat dan perkakas Kerajaan Pakatan Harapan!,” katanya.

Terdahulu, Bersih dalam satu sidang media semalam mendedahkan telah merekodkan beberapa salah laku dan kesalahan PRK Cameron Highlands yang membabitkan permainan sentimen bangsa, agama dan identiti politik.

Thomas berkata, kesalahan-kesalahan etika pilihan raya itu dilakukan oleh calon dan pemimpin parti politik bahkan ia sangat mengganggu proses demokrasi dalam perjalanan sesebuah pilihan raya.