Covid-19: 56 sekolah di Barat Daya ditutup

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

GEORGETOWN - Kesemua 56 sekolah dan institusi pendidikan termasuk sekolah swasta di daerah Barat Daya dekat sini ditutup bermula 6 hingga 20 November ini selepas kawasan itu disahkan sebagai zon merah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan malam ini memaklumkan bahawa pihaknya mengambil perhatian berhubung peningkatan kes positif koronavirus (Covid-19) di daerah Barat Daya dan memutuskan untuk menutup sekolah dalam usaha membendung penularan wabak itu.

"Sebanyak 56 institusi pendidikan merangkumi 39 sekolah rendah dan sekolah menengah (12) di bawah KPM serta sebuah kolej vokasional dan empat sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.

"Senarai institusi pendidikan yang ditutup dilampirkan bersama-sama untuk rujukan ibu bapa, penjaga, warga sekolah dan institusi. Untuk makluman juga, senarai ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan akan dimuat naik di portal KPM di www.moe.gov.my dan di platform media sosial rasmi KPM," menurut kenyataan itu.

Sekolah dan institusi yang mempunyai asrama juga ditutup dan ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama untuk pulang ke rumah masing-masing, bagaimanapun murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau yang ingin terus kekal berada di asrama sepanjang tempoh penutupan, akan berada di bawah jagaan warden asrama.

Menurut kenyataan itu, keperluan makanan dan minuman pelajar yang tinggal di asrama sepanjang tempoh tidak pulang ke rumah mereka akan disediakan pihak sekolah dan institusi.

Bagi murid atau pelajar yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang telah dijadualkan sepanjang tempoh penutupan institusi pendidikan, mereka hendaklah mendapatkan surat daripada sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.

"Sepanjang tempoh penutupan itu, pentadbir sekolah serta semua institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru-guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah. Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my," menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam hal ini, KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara dan sentiasa bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara serta KKM, dan sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah serta institusi akan dibuat dari semasa ke semasa.

Setakat ini, Daerah Barat Daya mencatatkan sebanyak 51 kes positif Covid-19 termasuk Kluster Bayan dan menjadikan daerah itu sebagai zon merah kerana mempunyai kes aktif melebihi 41.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Mukim 12 di Daerah Barat Daya dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 6 hingga 19 November. - Bernama