Jabatan netizen jangan dedah keterlaluan

No Image Caption
A
A
A

UMUM mengetahui kisah menyayat hati seorang pelajar perempuan Tingkatan Enam yang dipercayai membunuh sahabatnya sendiri, Siti Nur Surya Ismail, 19, dengan mengelar beberapa kali pergelangan tangan kiri mangsa sehingga putus di Kuala Berang, Terengganu 1 November lalu.

Suspek ditahan selepas diserahkan ibunya ketika datang ke balai polis. Tangkapan dibuat berdasarkan bukti yang ditemui di lokasi kejadian.Namun, sebaik sahaja laporan tentang tangkapan itu dilaporkan media, ramai kumpulan netizen menjadi berang dan marahkan media kerana tidak mendedahkan wajah suspek.

Tahukan anda tentang etika penulisan berita tentang laporan tangkapan polis? Menyiarkan gambar suspek atau nama dalam apa-apa kes jenayah merupakan pelanggaran etika penulisan berita. Walaupun pemberita mengetahui rupa tertuduh, namun, media perlu mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

Sebab itulah kebanyakan gambar berita tangkapan dan reman akan dikaburkan wajah mereka. Namun, media akan terus menyiarkan gambar dan menyatakan nama penuh suspek sebaik sahaja dibicarakan pada hari pertama.

Bagi kes sumbang mahram atau melibatkan pelaku di bawah umur, identiti tertuduh turut dikaburkan kerana ia tertakluk dalam etika penulisan berita.

Berbalik kepada kisah Siti Nur Surya, apabila gagal memperoleh maklumat daripada laporan media tentang identiti pelaku, netizen segera mengorek ‘rahsia’ dan sebaik sahaja memperoleh maklumat, tanpa segan silu terus berkongsi di media sosial.

Tidak sampai 24 jam berita tangkapan, wajah suspek, perbualan WhatsApp dan banyak lagi maklumat yang sepatutnya menjadi bukti di mahkamah didedahkan dahulu di media sosial.

Sama ada suspek bersalah atau tidak, sengaja atau tidak sengaja, berniat atau tidak, segala keputusan akan ditentukan di dua mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Berhati-hatilah menggunakan papan kekunci di media maya. Jangan kelak kita turut tersabit walaupun tiada kaitan.

Apa yang lebih baik ketika ini adalah bersama-sama mendoakan agar Allahyarham ditempatkan bersama kalangan orang yang beriman.Semoga keluarga Allahyarham dan insan yang disayangi tabah mengharungi ujian tersebut.