X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: KKM jangka nilai R0 boleh dilandaikan tiga minggu lagi

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (kanan) bercakap ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan nilai kebolehjangkitan atau R-naught (R0) koronavirus (Covid-19) boleh dilandaikan sehingga 0.5 dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa kawasan di Lembah Klang dan Sabah berjaya menurunkan nilai R0 daripada 2.2 pada permulaan September lepas kepada 1.0 ketika ini.

"Jika ikut unjuran KKM dengan nilai R0 1.5, kita sepatutnya dapat kes baharu sebanyak 1,621 kes hari ini, sebaliknya dengan nilai R0 sekarang pada 1.0, kita catat 1,032 kes (hari ini).

"Kalau dalam tempoh dua minggu lebih kita dapat turunkan R0 kepada 1.0 (ketika ini), dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi, kita boleh capai R0 0.5," katanya pada sidang akhbar perkembangan Covid-19 di KKM hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kajian sebuah universiti tempatan yang menjangkakan terdapat 5,000 kes baharu Covid-19 dalam tempoh dua minggu.

Dr Noor Hisham berkata, KKM telah menjangkakan bahawa pada akhir tahun ini akan terdapat lonjakan kes Covid-19 kerana kementerian ketika ini menangani virus bermutasi yang menggantikan virus merebak, jadi kebolehjangkitan adalah sedikit lebih tinggi.

"Beberapa negara turut berdepan pengalaman sama dengan Malaysia yang menyaksikan lonjakan kes secara mendadak," katanya.

Beliau berkata, Malaysia telah melandaikan keluk Covid-19 menggunakan pendekatan intervensi kesihatan awam sebagaimana yang diuruskan di Kedah dan kaedah sedemikian akan terus digunakan bagi membendung Covid-19.

Ditanya mengenai isu lebih 20 pekerja dijangkiti di sebuah kilang elektronik di Bangi, Dr Noor Hisham berkata, kementerian mendapati ada kaitan antara sembilan pekerja di kilang terbabit dengan kluster Hentian. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!