Bertindak ikut prinsip keutamaan

A
A
A

DALAM menjalani kehidupan seharian, tentu sekali kita pernah berada dalam situasi perlu membuat pilihan antara dua perkara.

Jika dua perkara itu saling bertentangan dari segi hukum seperti antara halal dan haram, tentu mudah untuk kita membuat keputusan tetapi bagaimana pula jika kita bertembung dengan situasi kedua-duanya ada kebaikan dan kelebihan yang tersendiri - apakah tindakan yang perlu kita ambil? Dalam sebuah hadis, diceritakan bagaimana seorang sahabat Rasulullah SAW tertarik dengan satu lembah yang indah dan terfikir beruzlah (bersendirian) di situ untuk fokus kepada ibadah. Dia pergi menemui Rasulullah SAW untuk menyatakan hasratnya.

Lalu Rasulullah SAW menjawab yang bermaksud: “Jangan kamu melakukannya kerana sesungguhnya kedudukan seseorang kamu di jalan ALLAH (medan jihad) adalah lebih utama daripada menunaikan solat dalam rumah selama 70 tahun. Apakah kamu tidak suka ALLAH mengampunkan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga? Berperanglah di jalan ALLAH, barang siapa yang berperang di jalan ALLAH selama tempoh memerah susu unta (yakni dalam tempoh yang sekejap) maka wajib mendapat balasan syurga.” (Riwayat at-Tirmizi)

Hadis tersebut menggambarkan kepada kita bahawa terdapat dua perkara yang sedang bertembung dan kedua-duanya merupakan perkara yang di-suruh agama iaitu solat dan berjihad (berperang) di jalan ALLAH. Rasulullah SAW telah memberi panduan kepada sahabat baginda bahawa perlunya bertindak mengikut tertib keutamaan.

Walaupun solat itu dapat memberikan kebaikan dan pahala kepada pelakunya tetapi apabila dilihat kepada manfaat serta faedah yang lebih besar baik kepada diri dan umat Islam serta masa depan Islam itu sendiri, Rasulullah SAW mengarahkan sahabat tersebut agar mengutamakan jihad di jalan ALLAH dan tidak meneruskan niatnya untuk beruzlah di lembah berkenaan.

Panduan yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW perlu diamalkan dalam kehidupan. Apatah lagi jika kita seorang yang ada tanggungjawab terhadap orang bawahan kita seperti pemimpin. Seorang pemimpin yang baik adalah yang boleh memahami dan mengaplikasi prinsip keutamaan dalam setiap keputusan yang dibuat.

Dalam bahasa Arab, prinsip keutamaan itu disebut sebagai Fiqh al-Aulawiyyat. Ulama yang tersohor, Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi ada menulis sebuah buku yang membincangkan secara terperinci tentang Fiqh al-Aulawiyyat.

Saya tidak berhasrat untuk mengulas tentang buku tersebut tetapi yang ingin saya suarakan kali ini adalah betapa perlunya pemimpin sama ada di peringkat negeri atau peringkat negara hendaklah bertindak berasaskan prinsip keutamaan, apatah lagi dalam situasi negara sedang berperang dengan koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

Saya mengharapkan agar pemimpin memberi fokus kepada bagaimana untuk memulihkan ekonomi dan membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang sudah hilang pekerjaan sejak Covid-19 melanda negara.

Usah disibukkan dengan membuat sesuatu yang tidak membantu masyarakat untuk bangun semula daripada kemelut kehilangan sumber pendapatan.Gunalah dana yang ada untuk membuat sesuatu yang boleh memulihkan kedudukan ekonomi negara dan seterusnya membantu rakyat bangun semula. Tidak ada keperluan lagi buat masa ini untuk membina bangunan atau galeri yang tidak memberi impak yang besar kepada masyarakat.

Jadilah pemimpin yang peka dengan keadaan semasa dan penuh rasa belas kasihan pada rakyat yang sedang menderita.

Akhir kalam, saya menyeru kepada semua pemimpin agar sentiasa menjadikan prinsip keutamaan sebagai teras dalam membuat keputusan. Sekiranya kepentingan rakyat dikebelakangkan, rakyat pasti akan terus menderita. Wallahuaklam.

*Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah