Trump ibarat dajal kecil

A
A
A

PENTADBIRAN Donald Trump bagi tempoh 2016 hingga 2020 menghasilkan lonjakan strategik yang cukup luar biasa buat rejim Zionis Israel. Malah, tidak keterlaluan jika Trump ibarat ‘dajal kecil’ yang berjaya mengukuhkan cengkaman Zionis ke atas Palestin dan Baitulmaqdis pada kadar yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Presiden Amerika Syarikat (AS) sebelum beliau.

Di bawah Trump, negara Arab seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Sudan tergamak menormalisasi hubungan dengan Zionis Israel, Bukit Golan milik Syria diiktiraf milik Israel dan paling utama tentulah pengiktirafan bahawa Baitulmaqdis sebagai ibu negara milik mutlak Israel, manakala seluruh tanah Palestin yang dijajah secara haram oleh Zionis dianggap sebagai milik berdaulat Israel.

Tindakan Trump bermakna bukan sahaja tanah Palestin yang dirampas Zionis selepas Perang 1948 dan 1967 diiktiraf sebagai milik berdaulat Israel, malah seluruh petempatan haram Yahudi di Tebing Barat Palestin.

Haram al-Sharif diiktiraf di bawah kekuasaan Israel semata-mata kerana kuasa memberi izin untuk beribadat terletak di tangan Zionis. Lembah Jordan turut ‘dihadiahkan’ Trump kepada Zionis.

Kesemua langkah itu dicapai melalui Pelan Deal of the Century tajaan Trump. Dengan angkuhnya, Trump dan Netanyahu memberi amaran bahawa pelan itu adalah satu-satunya cara untuk Palestin diiktiraf menjadi sebuah negara merdeka – dengan syarat Palestin mesti menerima kesemua cadangan pelan yang tidak masuk akal itu.

Mengikut pelan hina Amerika-Israel itu, untuk diiktiraf menjadi negara merdeka, Palestin mesti mengiktiraf tanah miliknya yang dirampas Zionis melalui Perang 1967 sebagai milik Israel.

Hakikatnya jelas bahawa pelan rekaan Zionis-Amerika adalah bertentangan dengan Resolusi 242 Majlis Keselamatan PBB yang mewajibkan Israel memulangkan semula wilayah Palestin yang dirampas melalui Perang 1967. Pelan tajaan Amerika dan Zionis itu adalah susulan pelan ekonomi sebelumnya iaitu Pelan Ekonomi Damai Timur Tengah.

Pelan ekonomi Trump hanyalah ibarat cubaan merasuah pemimpin Palestin supaya menjual Baitulmaqdis dengan harga pelaburan AS$50 bilion untuk dijadikan ibu negara Israel tanpa diganggu gugat oleh umat Islam Palestin.

Artikel Berkaitan:

Pelan

Pelan tajaan Zionis-Amerika tidak segan silu turut mencadangkan kerjasama ketenteraan Israel dengan Palestin, Mesir, Arab Saudi, Jordan dan UAE bagi memerangi Iran.

Seluruh pemimpin Palestin sama ada daripada Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) mahupun Hamas menolak keras segala pelan tajaan Trump yang disokong kuat Netanyahu. Begitu juga dengan Iran yang lantang mengkritik pelan tersebut.

Namun, lain pula geostrategi Trump di Asia Timur, khususnya di wilayah Laut China Selatan. Kapal tentera Amerika sering memberi sokongan secara tidak langsung kepada Malaysia daripada gangguan China yang menceroboh perairan kita.

Pertengahan Mei lalu, kapal USS Gabrielle Giffords (LCS 10) belayar berhampiran West Capella yang dikontrak Petronas yang baru menyempurnakan misi eksplorasi di Blok ND2 (Lala-1) pada 12 Mei 2020.

Untuk rekod, tahun ini sahaja enam buah kapal Amerika belayar di perairan kita berhadapan dengan China. Pastinya, geostrategi Trump tidak menghairankan kerana China saat ini mencabar hegemoni unipolar AS.

Maka, Trump bijak mengambil peluang kerakusan China yang cuba membolot seluruh Laut China Selatan termasuk perairan kita dengan mengirim kapal-kapal tentera dengan slogan menyokong kita dan negara-negara Asia Tenggara lain daripada ‘dibuli’ China.

Maka, terserah kepada kebijaksanaan kita untuk mengimbangi peluang dan risiko AS-China pada masa hadapan tanpa alpa dengan perkembangan kontemporari di bumi Palestin.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda.