Perak kenal pasti 15 lokasi kemalangan maut

A
A

BUKIT GANTANG - Kerajaan Perak mengenal pasti sebanyak 15 kawasan panas sebagai kawasan kemalangan maut di negeri ini sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina ini.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Abdul Yunus Jamhari berkata, 15 kawasan panas itu meliputi kawasan Jalan Persekutuan, Jalan Bandaran, Jalan Negeri dan Lebuhraya Utara Selatan di kesemua daerah di Perak kecuali daerah Kerian yang kerap berlaku kemalangan maut.

Menurutnya, sejumlah 1,200 anggota penguat kuasa termasuk 520 anggota polis, 411 kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan 113 daripada pelbagai jabatan dan agensi sokongan akan bertugas di kesemua kawasan panas sepanjang tempoh Ops Bersepadu bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik.

"Pelaksanaan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya bersempena perayaan Tahun Baharu Cina peringkat negeri Perak tahun 2019 bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya mengenai keselamatan jalan raya pada musim perayaan di samping mengawal selia pergerakan kenderaan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

"Kempen tahun ini merangkumi empat program utama iaitu pendidikan, penguatkuasaan, pencegahan bersama pemantauan serta penilaian.

"Kerajaan berharap penerapan inisiatif kempen dapat memastikan usaha menangani statistik kemalangan maut sepanjang musim perayaan dapat ditangani dengan sebaiknya," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Tahun Baru Cina peringkat negeri di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang arah utara di sini hari ini.

Turut hadir Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain@Abd Rasid dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ), Mohd Zawawi Zakaria.

Abdul Yunus berkata, berdasarkan statistik polis di negeri ini, sebanyak 37,035 kes kemalangan jalan raya dilaporkan pada tahun 2018 berbanding 38,587 kes pada 2017.

Menurutnya, angka itu menunjukkan penurunan sebanyak 1,553 kes manakala jumlah kematian menurun kepada 689 kes pada tahun 2018 berbanding 711 pada tahun 2017.

"Selain kekuatan anggota penguat kuasa untuk memantau kawasan panas di Perak, PLUS Berhad bakal menggerakkan 156 petugas bagi memastikan kelancaran dan keselesaan pengguna lebuh raya.

"PLUS turut menganggarkan sebanyak 1.9 juta pengguna jalan raya akan melalui negeri ini berbanding 1.4 juta pada 2017 direkodkan dengan peningkatan sebanyak 0.5 juta," katanya.

Sementara itu, Razarudin menegaskan keseluruhan pengguna jalan raya di negeri Perak masih menunjukkan tahap pemanduan berhemah sepanjang tiga hari Ops Bersepadu dijalankan apabila tiada rekod kemalangan maut dicatatkan berbanding 10 kes pada tempoh waktu sama.

Menurutnya, pengguna jalan raya dilihat lebih mematuhi undang-undang keselamatan jalan raya berbanding tahun lalu dan perkembangan baik diharapkan dapat diteruskan pada sepanjang tempoh Ops Bersepadu dijalankan.

"Cuma kita akan terus mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana pengguna yang masih berdegil melakukan tujuh kesalahan lalu lintas utama iaitu tidak mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memotong barisan, tidak memakai tali pinggang keledar, memandu di lorong kanan secara berterusan dan memandu di lorong kecemasan,"katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia