Sembilan pelajar antara ditahan terlibat judi online

Gambar kecil: ADZLI ABU SHAH
Gambar kecil: ADZLI ABU SHAH
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sembilan pelajar antara 72 individu yang ditahan kerana terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian di daerah Kuala Muda.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kesemua mereka ditahan berusia 15 hingga 25 tahun dalam 56 serbuan bermula Januari sehingga 31 Oktober ini di mana 22 daripadanya adalah berusia 18 tahun dan ke bawah.

"Tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka di mana kertas siasatan telah dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk proses pendakwaan termasuk sembilan pelajar terlibat.

"Kita percaya pelajar ini diambil bekerja sebagai ejen dan operator sindiket judi dalam talian atau dijadikan penjual tambah nilai," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini hari ini.

Beliau berkata, antara modus operandi yang digunakan oleh sindiket ini adalah dengan menjadikan kedai telekomunikasi atau kawasan perumahan sebagai tempat menjual tambah nilai judi dalam talian.

"Sindiket disyaki menyediakan peralatan seperti telefon pintar yang mempunyai kiosk bagi menjalankan urusan tambah nilai kepada operator atau penjual," katanya.

Dalam pada itu, Azdli berkata, tindakan pemotongan bekalan elektrik juga dikenakan bagi premis yang dikesan menjalankan operasi perjudian dalam talian iaitu membabitkan 40 kes pemotongan pada 2019 dan 17 kes pada Januari hingga Oktober tahun ini.

Sementara itu dalam kes berasingan, polis menahan enam lelaki berusia 16 hingga 38 tahun dalam tiga serbuan pada Op Dadu Khas pada 26 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kesemua yang ditahan disyaki menjadi penjual tambah nilai judi dalam talian.

"Serbuan bermula jam 2 hingga 6.50 petang itu turut merampas empat buah telefon bimbit di dalamnya mengandungi kiosk tambah nilai judi dalam talian dan wang tunai RM418 dipercayai hasil aktiviti haram terbabit.

"Kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda RM5,000 hingga RM50,000 dan hukuman penjara hingga tiga tahun jika sabit kesalahan," katanya.