Polis buru lelaki tercicir pistol

Polis mencari K Parameswaran, 31, untuk siasatan di bawah Akta Senjata Api 1971.
Polis mencari K Parameswaran, 31, untuk siasatan di bawah Akta Senjata Api 1971.
A
A
A

KLANG - Polis memburu seorang lelaki disyaki bekas ahli kongsi gelap Geng 24 Apache dikenali K Parameswaran berusia 31 tahun yang keciciran sepucuk pistol ketika bergaduh dengan jirannya di Taman Mewah Jaya 2 di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat daripada orang awam mengenai pergaduhan kira-kira jam 11.10 malam.

"Siasatan awal mendapati perselisihan faham berlaku antara lelaki terbabit dengan jirannya di hadapan sebuah rumah.

"Setibanya anggota kita di tempat kejadian, lelaki itu sudah tiada dan tercicir sepucuk pistol jenis Smith & Wesson," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, polis kemudian menyerbu rumah suspek yang menetap di Taman Mewah Jaya 2 dan merampas enam butir peluru.

Katanya, selain itu, semakan mendapati suspek memiliki empat rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah, pecah rumah, samun dan pecah kenderaan.

"Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan usaha memburu suspek giat dijalankan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh hubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor M Ganesh di talian 012-2765070," katanya.

Artikel Berkaitan: