Menteri luar lawat Thailand diuji positif Covid-19

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

BANGKOK - Seorang menteri luar sebuah negara yang mengadakan lawatan kerja rasmi ke Thailand didapati positif Covid-19 di Thailand, kata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul.

Tanpa menamakan negara, Anutin berkata, menteri luar dari sebuah negara Eropah itu, tiba di Bangkok pada malam Selasa dan didapati positif selepas menjalani ujian Covid-19.

Bagaimanapun difahamkan menteri tersebut adalah Menteri Luar dan Perdagangan Hungary, Péter Szijjártó, yang dalam lawatan kerja rasmi dua hari ke Thailand.

Terdahulu media telah dimaklumkan oleh Jurucakap Rumah Kerajaan mengenai pembatalan pertemuan antara Menteri Hungary itu dan Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha yang dijadualkan pada 11.30 pagi (waktu tempatan) hari ini.

Sementara itu Anutin berkata, menteri luar itu dijadualkan pulang ke negaranya hari ini.

“Ketika menteri dan delegasinya tiba di Thailand, mereka telah mematuhi langkah ketat pencegahan Covid-19 Thailand, termasuk menjalani ujian Covid-19.

“Kami adakan ujian Covid-19 itu dua kali dan ia menunjukkan keputusan positif. Beliau kemudiannya dibawa ke hospital di Bangkok untuk rawatan. Beliau tidak menunjukkan apa-apa simptom Covid-19,” katanya kepada media selepas melawat menteri tersebut di hospital hari ini.

Anutin juga mengesahkan hanya menteri tersebut diuji positif, manakala delegasinya diuji negatif.

Artikel Berkaitan:

Szijjártó dijadualkan untuk bertemu Prayuth dan seorang lagi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar, Don Pramudwinai, sebagai usaha meningkatkan lagi hubungan antara Thailand dan Hungary terutamanya dalam ekonomi, perdagangan dan pelaburan.

Sebelum ke Thailand, Szijjártó telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Kemboja, di mana beliau telah merasmikan semula pejabat kedutaan Hungary di negara itu dan menandatangani tidak dokumen bilateral, menurut ‘The Phnom Penh Post’.

Sehingga kini Thailand telah mencatatkan 3,804 kes Covid-19 dengan 59 kematian.- Bernama