Trump bikin kecoh isytihar kemenangan sendiri

AYAT FB: Donald Trump rasa tergugat, ugut mahu hentikan kiraan undi

Trump selepas berucap di East Room, Rumah Putih di Washington pada awal pagi tadi. - Foto: AFP
Trump selepas berucap di East Room, Rumah Putih di Washington pada awal pagi tadi. - Foto: AFP
A
A
A

WASHINGTON - Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2020 bertukar kecoh awal pagi tadi selepas Presiden Donald Trump terburu-buru mengisytiharkan kemenangan beliau dan memberi amaran akan menggunakan kuasa Mahkamah Agung bagi menghentikan proses kiraan undi.

"Kita memenangi pilihan raya ini. Kami mahu hentikan prosedur tersebut. Ini adalah satu penipuan kepada rakyat Amerika," katanya ketika berucap di East Room di Rumah Putih merujuk kepada proses kiraan undi pos yang masih boleh diterima secara sah selepas pemilihan berlangsung kelmarin.

Trump seakan-akan tidak dapat menerima kenyataan apabila keputusan menunjukkan pesaingnya daripada Demokrat, Joe Biden telah mendahului dengan 238 undi elektoral berbanding 213 undi elektoral yang diperoleh beliau.

Sejak beberapa bulan lalu, bilionair hartanah terbabit secara lantang menentang undi pos selepas beliau tanpa mengemukakan bukti mendakwa ia boleh menyebabkan penipuan undi.

Kira-kira 100 juta penduduk AS telah mengundi melalui pengundian awal atau undi pos menjelang Pilihan Raya Presiden tersebut berikutan ancaman Covid-19 yang masih tinggi di negara itu.

Kempen Biden yang bertindak balas terhadap amaran Trump itu menyifatkan cubaan beliau untuk menghentikan proses kiraan undi sebagai tindakan keterlaluan dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Mereka menegaskan pasukan undang-undang bekas Naib Presiden itu sedia untuk menentang Trump jika perkara itu dipanjangkan ke mahkamah.

"Ia tidak akan dihentikan dan akan setiap kertas undi akan tetap dikira," ujar jurucakap kempen beliau.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Biden yang digelar 'sleepy Joe' oleh Trump memberitahu proses kiraan undi dijangka mengambil masa agak lama dan meminta para penyokongnya supaya bersabar sehingga prosedur itu selesai.

Kenyataan pesaingnya bagaimanapun mencetuskan rasa kurang senang Presiden ke-45 AS terbabit hingga menyebabkan beliau tergesa-gesa mengisytiharkan kemenangannya dan menuduh berlaku penipuan undi hingga tweet pemimpin itu sekali lagi dikenakan tanda 'flag' kerana menyebarkan maklumat yang salah.

Sejak empat tahun lalu, Trump yang terkenal dengan jolokan 'raja drama' sering mendakwa dirinya diperlakukan secara tidak adil.

Keputusan semalam menyaksikan Biden menjadi calon Demokrat pertama dalam tempoh 24 tahun untuk memenangi undi elektoral di Arizona selepas menang besar di California, New York, Minnesota dan New Hampshire yang pernah dimenangi Hillary Clinton pada 2016.

Ketika ini, perhatian tertumpu kepada tiga negeri utara, Michigan, Pennsylvania dan Wisconsin yang pernah dimenangi Trump empat tahun lalu serta kubu kuat Demokrat di Detroit, Philadelphia dan Milwaukee.

Menurut Biden, beliau berasa 'sangat baik' tentang Michigan dan Wisconsin serta turut menyuarakan keyakinan tentang Pennsylvania yang merupakan negeri kelahirannya. - AFP