Fail saman pemula isu darurat: Pejuang pertikai tindakan peguam

MUKHRIZ MAHATHIR
MUKHRIZ MAHATHIR
A
A
A

ALOR SETAR - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mempertikai tindakan peguam, Syed Iskandar Syed Jaafar yang memfailkan saman pemula terhadap keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana tidak bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat.

Presiden Penaja Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut mempersoal saman tersebut yang hanya menamakan kerajaan Malaysia sebagai defendan tunggal tanpa menamakan pihak lain sebagai defendan kedua.

Menurutnya, ini kerana Peguam Negara antara pihak yang menasihati kerajaan dan Muhyiddin dalam isu perundangan termasuk mencadangkan darurat kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Antara yang mengiringi Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mengesyorkan darurat ialah Peguam Negara yang dipertanggungjawabkan menasihati Seri Paduka Baginda dan kerajaan dalam perkara berkaitan undang-undang, sudah tentu beliau terlibat secara langsung mengenai pengisytiharan tersebut.

"Peliknya, saman pemula difailkan Syed Iskandar menamakan kerajaan Malaysia sebagai defendan tunggal, tiada pihak lain dinamakan sebagai defendan. Sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan, tentunya Peguam Negara akan mewakili kerajaan menjawab soalan ditimbulkan saman tersebut.

"Tidakkah ini merupakan konflik kepentingan? Mana mungkin Peguam Negara yang menyediakan hujah bagi mewajarkan darurat, kini mempertahankan di mahkamah keputusan Seri Paduka Baginda untuk menolak pengisytiharan itu?” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, saman pemula itu menimbulkan banyak persoalan dan perlukan penjelasan sama ada oleh peguam berkenaan mahupun kerajaan Malaysia selaku defendan.

“Apakah motif sebenar Perdana Menteri mahukan darurat? Barangkali, beliau dan Jemaah Menteri resah kemungkinan Belanjawan 2021 ditolak di Parlimen. Ini akan menyebabkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang dan Muhyiddin digugurkan jawatan. Ramai menelah, ini sebab sebenar beliau mahu darurat diisytiharkan, namun hasrat itu tidak tercapai kerana ‘nasihat’ itu ditolak Seri Paduka Baginda,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 28 Oktober, saman pemula difailkan Syed Iskandar di Mahkamah Tinggi terhadap kerajaan Malaysia itu mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk menolak nasihat Perdana Menteri dalam pengisytiharan darurat.

Saman itu mendakwa Seri Paduka Baginda tiada pilihan selain menerima bulat-bulat nasihat Perdana Menteri untuk mengisytiharkan darurat.

“Sedangkan penularan wabak Covid-19 tidak boleh diterima sebagai alasan, Muhyiddin serta Perikatan Nasional hanya mengharapkan darurat bagi menjamin kedudukan mereka dalam kerajaan,” kata Mukhriz.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Jerlun itu mengajak rakyat menyokong penuh keputusan Seri Paduka Baginda menolak pengisytiharan darurat kerana ia dibuat untuk menyelamatkan rakyat dari sebarang unsur penyalahgunaan kuasa.

“Rakyat perlu menolak tindakan yang mempertikaikan keputusan tersebut. Saman pemula itu tidak patut dilayan, kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk menolak nasihat Perdana Menteri mengenai darurat mesti dianggap sah,” katanya.

Pada masa sama, Mukhriz menggesa agar Muhyiddin menghentikan segala usaha bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dengan menggunakan alasan darurat.

Pada 23 Oktober, Muhyiddin diiringi beberapa Menteri dan Peguam Negara telah menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati Seri Paduka Baginda supaya mengisytiharkan darurat dengan alasan menangani penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, Seri Paduka Baginda membuat keputusan bermusyawarah dengan Raja-Raja Melayu sebelum berkenan mengumumkan ketetapan.

Seri Paduka Baginda tidak memperkenankan alasan tersebut kerana berpendapat kerajaan berjaya mengawal penularan wabak walaupun negara berdepan gelombang ketiga, secara relatifnya keadaan di Malaysia tidak seteruk negara lain.