Covid-19: Kelantan paling ramai hantar 'tentera' di zon merah

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Adila Hamiun yang akan berangkat ke Labuan esok.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Adila Hamiun yang akan berangkat ke Labuan esok.
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan melalui Jabatan Kesihatan muncul sebagai negeri tertinggi yang menghantar 338 ‘tentera’ ke medan ‘peperangan’ bagi merawat pesakit di tiga negeri zon merah akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19) sejak September lalu.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kesemua petugas barisan hadapan termasuk doktor dan jururawat itu berangkat ke negeri yang terjejas teruk ketika ini iaitu Selangor, Kedah dan Sabah atas kerelaan sendiri.

“Mereka bukan sahaja pergi secara sukarela malah atas dasar rasa tanggungjawab kepada negara.

“Majoritinya sihat tanpa penyakit kronik dan diyakini mampu melaksanakan tugas dengan cemerlang di lapangan nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Kesyukuran sempena empat jururawat dari Jabatan Kesihatan negeri yang berangkat untuk bertugas ke Labuan, Sabah di Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Empat mereka ialah, Suzana Yusof, 45, dan Nik Azreen Othman, 33, dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu, manakala Norhalawati Che Sulaiman, 42, dan Adila Hamiun, 25, dari Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

Dari kiri: Suzana, Nik Azreen, Adila Hamiun dan Norhalawati yang akan berangkat ke Labuan esok.
Dari kiri: Suzana, Nik Azreen, Adila Hamiun dan Norhalawati yang akan berangkat ke Labuan esok.

Dr Zaini berkata, mereka berempat akan menaiki penerbangan ke Labuan esok bagi memulakan tugas merawat pesakit Covid-19 di kawasan yang dikategorikan sebagai zon merah akibat penularan pandemik itu.

Artikel Berkaitan:

“Pihak jabatan tidak dapat menjangkakan jumlah keseluruhan penghantaran jururawat bagi membantu pesakit di kawasan zon merah pada masa akan datang, namun jadi ada keperluan, kita akan terus menghantar petugas untuk berkhidmat di sana.

“Jika melihat peningkatan kes di Labuan, mereka amat diperlukan bagi merawat pesakit dan mengurus keadaan masyarakat di daerah itu,” katanya.

Dalam pada itu, Adila yang merupakan anak jati Keningau, Sabah amat berbangga apabila berpeluang dapat pulang dan berbakti di negeri kelahirannya.

“Saya teruja untuk menjalankan tugas di Labuan dan pada masa sama sangat risau melihat peningkatan kes di negeri itu.

“Kesempatan berbakti di kampung halaman sendiri ini akan saya gunakan sebaiknya untuk membantu daripada pelbagai aspek terutamanya rawatan kepada penduduk di Labuan yang terjejas akibat Covid-19,” katanya.