Cuepacs harap kerajaan utamakan kebajikan penjawat awam

Adnan
Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan memberi keutamaan terhadap kebajikan penjawat awam dalam Belanjawan 2021 bagi memastikan kejayaan program pemulihan ekonomi negara.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, pemerkasaan sektor perkhidmatan awam bersifat inklusif dan meliputi pembangunan kerjaya, persekitaran kerja yang baik, insentif kenaikan gaji serta kebajikan penjawat awam itu sendiri.

Menurutnya, sistem penyampaian perkhidmatan awam sudah berada di tahap yang tertinggi dan hanya memerlukan sedikit penambahbaikan, namun perlu selari dengan kebajikan untuk penjawat awam.

“Jadi tiada salahnya jika penjawat awam yang selama ini menjadi nadi kepada pentadbiran negara diberi keutamaan dalam Belanjawan 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, Ceupacs berpandangan bahawa kerajaan juga tidak boleh berkira dengan rakyat dalam menyalurkan segala peruntukan Belanjawan 2021.

Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah bagaimana untuk memulihkan semula ekonomi negara dan pada masa sama membantu rakyat.

“Cuepacs tidak mahu perkara yang diumumkan terutama melibatkan kepentingan rakyat dan penjawat awam tidak dilaksanakan atau ditangguh.

“Apa yang telah diumumkan dalam belanjawan perlu dilaksanakan, tidak usah lagi dikaji semula atau dikitar semula dalam belanjawan pada tahun-tahun akan datang,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Cuepacs memohon pertimbangan kerajaan mempercepatkan pelaksanaan Sistem Saraan Malaysia (SSM) baharu berikutan sistem saraan ketika kini telah digunakan sejak 18 tahun lalu.

Menurut Adnan, kerajaan sepatutnya memperbaharui sistem saraan setiap lima tahun dengan menilai semula beberapa perkara termasuk gaji penjawat awam.

“Penetapan gaji minimum penjawat awam yang digunakan ketika ini adalah RM1,200 sebulan adalah berada di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) iaitu RM2,208,” katanya.