Cadangan pelaksanaan semula GST perlu diteliti

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan perlu meneliti secara mendalam sebarang langkah untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) atau pelaksanaan cukai lain termasuk kesannya terhadap ekonomi, kos sara hidup rakyat serta menangani kegiatan ekonomi gelap.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, aspek itu perlu diambil kira walaupun kerajaan mengambil maklum terhadap cadangan pelbagai pihak termasuk industri, ahli akademik dan orang ramai agar GST diperkenalkan semula bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Beliau menegaskan, sebarang bentuk cukai kepenggunaan baharu yang diperkenalkan juga perlu bersifat mudah ditadbir dan tidak meningkatkan kos perniagaan.

"Saya faham ada pihak berpendapat bahawa GST ialah satu sistem percukaian yang lebih efisien dan kutipannya lebih besar daripada SST.

“Namun begitu, kita perlu perhalusinya dan MoF (Kementerian Kewangan) juga telah menelitinya tetapi belum mencapai satu keputusan,” katanya dalam satu temu bual bersama Bernama dan stesen televisyen tempatan lain di sini hari ini menjelang pembentangan Belanjawan 2021 yang dijadualkan pada 6 November ini.

Kata Perdana Menteri, sebarang keputusan mengenainya yang dicapai akan diumumkan kelak.

Muhyiddin berkata, kesesuaian pelaksanaan semula GST atau model cukai penggunaan lain juga perlu mengambil kira aspek kelebihan dan kelemahan SST serta kekurangan GST yang pernah diperkenalkan pada 2014.

"Pada masa sama, menjadi kelaziman untuk kerajaan mengkaji keberkesanan sistem cukai kepenggunaan satu peringkat di Malaysia ketika ini iaitu SST berbanding rejim cukai diamalkan kebanyakan negara lain seperti dalam bentuk cukai kepenggunaan nilai tambah," kata beliau. - Bernama

Artikel Berkaitan: