Jual kereta kesayangan demi mak, ayah jalani umrah

No Image Caption
A
A
A

BANGI - Demi kasihnya kepada ibu dan bapa, seorang anak sanggup menukar kereta kesayangannya dengan dua tiket umrah semata-mata untuk membawa kedua-dua mereka menunaikan ibadat itu bersamanya dijangka 18 Mac ini.

Jurugegas, Mohd Zulhairi Zainol, 35, berkata, dia berhasrat membawa ibu, Hamiah Shukor, 63, dan bapanya, Zainol Md Desa, 67, menunaikan umrah sejak beberapa tahun lalu.

Namun hasrat itu masih tidak dapat dipenuhi kerana wang dikumpul belum mencukupi.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, dia yang turut menjalankan khidmat van jenazah secara percuma kepada orang ramai baru-baru ini mendapat tajaan menunaikan umrah daripada seorang individu dan dijangka berangkat ke tanah suci bulan depan.

Meskipun gembira dengan rezeki diterima namun Zulhairi berkata, lebih menggembirakan dirinya jika dia dapat membawa ibu dan bapanya sekali menunaikan ibadah itu.

“Saya dapat tajaan tunaikan umrah, niat memang nak bawa mak, abah sekali tapi nak kumpul duit dalam masa sebulan tak sempat jadi saya ‘tolak’ kereta jenis Satria GTi ni kepada seorang pengumpul kereta untuk tukar dengan tiket umrah mereka.

“Alhamdulillah niat baik ni selalu ALLAH tolong, rupanya pengumpul kereta ni nak taja mak ayah saya percuma saja tapi saya tetap akan bagi kereta ini kepadanya,” katanya kepada Sinar Harian.

Zulhairi sebelum ini memuat naik status di akaun Facebooknya yang menerima ratusan emoji, selain komen dan perkongsian daripada netizen.

Artikel Berkaitan:

“Bila ALLAH dah detikkan hati Hery berkorban untuk mak ayah, Hery akan lakukan. Janji mereka ‘happy’ berdua. Kereta ni bila-bila boleh dapatkan balik...Alangkah seronoknya dapat bawa mereka bersama-sama ke tanah suci Mekah mengerjakan umrah,” muat naiknya.

Zulhairi berkata, sebaik memikirkan niatnya itu dia berhubung dengan seorang pengumpul kereta dan bertanya mengenai hasratnya itu.

“Hery WhatsApp Afiz salah seorang ‘collector’ kereta,..apa kereta dia tak ada kat Malaysia nie semua dia dah ada... 'so’ Hery tawar dia GTi ( 1st model 99/2000) untuk ditukarkan dengan dua tiket umrah untuk mak ayah Hery.

“Hery bagitahu tak nak duit, dia balas ‘deal’ dan suruh selesaikan pasport manakala pakej umrah mak abah dia selesaikan,” katanya.

Menurutnya, apalah sangat pergorbanannya berbanding jasa kedua orang tua yang disayanginya.

“Walaupon sayang gila kat kereta ni tapi lagi besar pergorbanan mak ayah kita,..’so’ Hery lakukan...Betul lah orang kata,..kalau kita dah pasang niat ALLAH akan mudahkan bermacam-macam cara, ALLAH akan menjemput kita.

“Untuk mak ayah Hery...Hery tak mampu sediakan duit berjuta-juta untuk memberi kesenangan pada mereka berdua, tapi Hery mempunyai akal dan cara untuk membuatkan mereka bahagia...Tak minta banyak daripada mereka, cukuplah doakan Hery sihat dan terus melakukan kerja-kerja amal,” katanya.

Sementara itu, Hamiah ketika dihubungi Sinar Harian memberitahu terharu dengan pengorbanan dilakukan anaknya.

Katanya, dia tidak bekerja sebelum ini dan suami yang merupakan bekas tukang kebun sekolah agama memang sudah lama berhasrat menunaikan umrah.

“Duit memang tak cukup lagi nak pergi...saya selalu bagitahu kat suami, kalau ada rezeki, adalah...tak sangka Zulhairi sanggup berkorban ‘tolak’ kereta kesayangan dia untuk dapatkan tiket umrah kami,” katanya.