X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada tahanan dapat larikan diri dari PTS Manggatal

Habibi bercakap kepada media selepas membuat pemantauan di kawasan PKPD PTS Manggatal, Kota Kinabalu.
A
A

KOTA KINABALU - Polis memberi jaminan tiada tahanan dapat melarikan diri dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Manggatal.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pelbagai langkah telah dilakukan termasuk menambah baik tembok serta kawalan keselamatan di pusat terbabit bagi mengelak kejadian tahanan melarikan diri berulang lagi.

"Saya percaya 200 peratus tiada tahanan dapat melarikan diri kerana tembok sudah kita baiki.

"Memang kita tahu sebelum ini ada kes melarikan diri tetapi itu telah diperbaiki dari segi keselamatan dan pengawalan keanggotaan serta logistik itu sendiri. Insya-ALLAH tahap kawalan melarikan diri itu di tahap terbaik, tidak akan berlaku," katanya ketika membuat pemantauan di PTS Manggatal di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tahap keselamatan dan risiko tahanan melarikan diri terutama ketika terdapat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang disahkan positif koronavirus (Covid-19) sehingga mewujudkan Kluster Rumah Merah di PTS itu.

Mengulas lanjut penugasan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di PTS itu, Habibi berkata, pihaknya menempatkan dua anggota bagi mengekang Covid-19.

"Sebarang pergerakan keluar dan masuk dihadkan dan konsep penugasan adalah sama seperti PKPD di Penjara Kepayan tidak memerlukan kawat berduri kerana tempat ini sudah berpagar," katanya.

Sementara itu, Pengarah Keselamatan Sabah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, seramai 510 tahanan di PTS Kota Kinabalu di Manggatal dan Tawau disahkan positif Covid-19 setakat ini.

Menurutnya, jumlah itu diperoleh hasil ujian saringan yang dijalankan terhadap 3,124 tahanan bermula 30 Oktober di PTS Kota Kinabalu dan 2 November bagi PTS Tawau.

"Bagi kes positif yang dikesan di PTS Kota Kinabalu dan Tawau, ia membabitkan tahanan baharu yang mendapat keputusan negatif pada ujian saringan pertama dan tidak bergejala.

"Bagaimanapun, selepas ditempatkan di dalam PTS melebih 14 hari, tahanan mula menunjukkan gejala seperti demam dan batuk sebelum disahkan positif Covid-19. Kes ini masih dalam siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya.

Sharifah berkata, pelbagai tindakan sudah diambil termasuk mewujudkan pengezonan blok dan mengasingkan tahanan mengikut kategori.

Katanya, pihak MKN juga turut dalam proses penilaian keperluan makeshift treatment centre (MTC) bagi memudahkan pelaksanaan rawatan dalam kawasan PKPD.

"Bagi memutuskan rantaian dan risiko penularan di luar PTS Kota Kinabalu, semua tahanan yang sedang dirawat di hospital dijaga oleh Jabatan Imigresen Malaysia Sabah.

"Bagi PTS Tawau, Imigresen Tawau membantu kawalan keselamatan bagi orang tahanan yang berada di pusat kuarantin atau pusat rawatan tambahan,” katanya.

Sementara itu, bagi mengatasi masalah kesesakan pula, Sharifah berkata, pihak MKN Sabah menggesa agar pengaktifan pusat kuarantin tahanan PATI dibuat segera untuk pengasingan antara tahanan mengikut kategori.

Katanya, pengasingan itu akan dapat menghentikan penularan wabak berkenaan dan tidak akan berulang lagi pada masa akan datang.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!