'House brand' keluaran pasar raya utama jadi pilihan pengguna

A
A
A

Antara jenama yang dihasilkan di bawah Tesco Stores.
Antara jenama yang dihasilkan di bawah Tesco Stores.



'Cintailah produk Malaysia'. Satu kalimat yang sering kita dengar dan kini gerakan kempen supaya rakyat Malaysia menyokong, memilih dan membeli barangan buatan Malaysia sedang giat dilaksanakan.

Lambakan produk buatan tempat di pasaran memang tidak perlu dipertikai. Selain pelbagai jenama yang boleh didapati dengan mudah, pengguna juga pasti biasa melihat label produk yang menjadi identiti kepada tempat yang menjual produk.

House brand atau private label atau jenama sendiri, dikeluarkan oleh pasar raya besar bagi memberi pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan barangan dengan harga berpatutan.

Mydin hasil 50 produk jenama sendiri

Ameer Ali (kiri) dan Pengurus Besar Bahagian Import dan Eksport Mydin, Norman Rajen Abdullah menunjukkan sebahagian produk jenama sendiri Mydin.
Ameer Ali (kiri) dan Pengurus Besar Bahagian Import dan Eksport Mydin, Norman Rajen Abdullah menunjukkan sebahagian produk jenama sendiri Mydin.

Artikel Berkaitan:



Pengendali rangkaian peruncitan produk halal tempatan, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) memasarkan produk pengeluaran produk tulen (OEM) dengan jenama sendiri mengikut kesesuaian produk.

Mydin mempunyai lebih 50 jenama sendiri pelbagai kategori termasuk makanan yang didaftarkan di bawah Mydin.

Pengarah Urusannya, Datuk Wira Ameer Ali Mydin berkata, sebagai pemborong, Mydin mengeluarkan produk berkenaan untuk memenuhi perspektif pelanggan dan permintaan peruncit.

Mydin memilih mewujudkan jenama sendiri untuk membantu pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (SME) membekalkan produk dengan jumlah yang besar, penjimatan kos pemasaran dan latihan termasuk bimbingan.

“Produk jenama sendiri ini membantu pengguna terutamanya golongan B40 dan M40 jimatkan perbelanjaan dan peniaga juga dapat membeli dengan harga borong,” katanya kepada Sinar Harian.

Produk jenama di bawah Mydin mempunyai kualiti sama seperti jenama lain dan ditawarkan dengan harga berpatutan iaitu sekurang-kurangnya 30 peratus lebih rendah berbanding harga biasa.

Beliau berharap rakyat Malaysia membeli barangan buatan usahawan tempatan sebagai usaha untuk menyokong Kempen Beli Barangan Malaysia.

“Saya juga berharap bantuan berbentuk CSR oleh kerajaan kepada golongan memerlukan wajar menggunakan barangan buatan tempatan untuk membantu usahawan,” katanya.

Jenama Mydin:

- Partner (alat tulis)

- My Home (kelengkapan rumah)

- Myhaji, Siti Aisyah, My Telekung, My Aurat, MyRasa, Ameera, Royal Touch dan My Dryfirst.

Giant penuhi permintaan pelanggan

Jenama sendiri yang dikeluarkan oleh GCH Retail.
Jenama sendiri yang dikeluarkan oleh GCH Retail.



Terdapat 10 jenama sendiri yang dipasarkan di pasar raya di bawah GCH Retail Malaysia (GCH Retail) seperti Giant, TMC, Cold Storage, Mercato, G-Ekspres dan ShopSmart iaitu Giant (Giant Brand), jenama sendiri (Own Brand) dan Meadows yang baru dilancarkan di Malaysia pada September lalu.

Menurut sumber Giant, jenama-jenama sendiri ini diperkenalkan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan produk segar, berkualiti tinggi dan cita rasa berbeza dengan harga yang berpatutan.

Katanya permintaan produk jenama sendiri GCH Retail agak setara dengan produk-produk lain kerana memberi lebih nilai, kualiti dan penjimatan.

Di samping strategi pemasaran yang kompak, penerapan nilai harga dalam perbelanjaan dan pentingnya kualiti dalam penyediaan produk senantiasa diterapkan oleh cawangan pasar raya GCH Retail.

“Pelanggan mempunyai jaminan untuk penukaran produk atau wang dikembalikan sekiranya mereka tidak berpuas hati terhadap produk jenama sendiri kami,” katanya.

Jenama GCH Retail:

- Giant Brand

- Meadows

- Jenama sendiri: Vitapet, Feathersoft, Papa Alfredo, Farm Table, Jolly Tots, ActiPro, Aquabliss dan Dentismile.

Beri alternatif kepada pengguna

Mohd Fadzil berhasrat menjadikan Malakat Mall mampu ubah ekosistem ekonomi.
Mohd Fadzil berhasrat menjadikan Malakat Mall mampu ubah ekosistem ekonomi.



Malakat Mall mengambil inisiatif membina jenama-jenama sendiri bagi memastikan pengunjung Malakat Mall dapat membeli barangan atau perkhidmatan yang mereka perlukan terutama kepada pengguna-pengguna Islam.

Jenama di bawah label Malakat Mall terbahagi kepada tiga iaitu barangan runcit, makanan dan minuman (F&B) dan Life Style (gaya hidup).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim, Jenama sendiri diwujudkan bagi memberi alternatif kepada pengguna dan juga peluang pemilikan perniagaan strategik kepada usahawan dalam usaha untuk meningkatkan pegangan ekonomi kaum Muslim.

“Malakat Mall mahu menyediakan alternatif kepada pengguna dalam mendapatkan produk berkualiti seperti yang mereka kehendaki.

"Kami turut memberi jaminan wang dikembalikan jika pelanggan tidak berpuas hati dengan servis mahupun produk yang ditawarkan. Untuk Malakat Grocer, kami menawarkan jaminan harga terendah kepada pelanggan,” katanya.

Jenama Malakat Mall:

- Barangan Runcit: Malakat Grocer 812

- F&B: Casa De Madani, Bunch-Oh, The Tarik Corner, Its Thai, Ayam Lejen, Reds Hots, Tea Amo

- Life Style: Malakat Pharmacy, Himawari, DIY Malaya, 2358 Fashion, Jojo Shoe, Conteng, Tahan Sport, TGM, Bentoq, Kool Kitchen, Karkun.

Ribuan produk jenama Tesco

Antara jenama yang dihasilkan di bawah Tesco Stores.
Antara jenama yang dihasilkan di bawah Tesco Stores.

Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco) telah mengeluarkan ribuan barangan berjenama Tesco yang dibekalkan ke 62 rangkaian cawangannya di seluruh negara.

Tesco menjelaskan sebanyak 80 peratus daripada barangan tersebut telah dihasilkan oleh pembekal tempatan dan sebilangan besar daripada barangan ini dilabel dan dipasarkan di bawah jenama Tesco.

Produk bayi di bawah jenama Fred & Flo telah dihasilkan di Malaysia dan memenuhi standard dari United Kingdom.

"Ini bagi memastikan harganya berpatutan dan mampu dibeli oleh pelanggan tempatan yang inginkan barangan berkualiti. Lampin bayi Fred & Flo merupakan salah satu produk yang laris terjual di cawangan-cawangan kami termasuk dalam talian,” katanya.

Sebanyak 84 peratus penjualan yang dihasilkan untuk barangan berjenama Tesco pada akhir tahun kewangan 2019 datang daripada produk buatan tempatan.

“Ini menunjukkan bahawa pelanggan lebih cenderung untuk membeli produk buatan tempatan kerana bukan sahaja ia mampu milik tetapi berkualiti yang setara atau lebih bermutu daripada jenama nasional,” katanya.

Katanya, penerimaan dan sokongan terhadap barangan tempatan adalah penting bagi melonjakkan semula ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan krisis global yang berpanjangan.

Jenama Tesco:

- Tesco: Ayam goreng frozen, bun burger, sosej, susu UHT, Chocomalt & tisu tandas.

- Fred & Flo: Barangan keperluan bayi.

- Pro Formula Oral Care: Produk penjagaan mulut.

- F&F Clothing: Pakaian wanita, lelaki & kanak-kanak.