Guna frontliners agihkan bakul makanan di kawasan risiko tinggi

Shahelmey ketika melawat pusat pengumpulan bantuan makanan di Dewan Sri Sulaman, Tuaran hari ini.
Shahelmey ketika melawat pusat pengumpulan bantuan makanan di Dewan Sri Sulaman, Tuaran hari ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Petugas yang mengagihkan bakul makanan merupakan petugas barisan hadapan yang terlatih serta lengkap memakai peralatan perlindungan diri (PPE) bagi mengelakkan jangkitan koronavirus (Covid-19) di Sabah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya berkata, pihaknya memandang serius keselamatan petugas terbabit.

"Penerima juga penting. Jadi keselamatan kedua-dua pihak perlu diutamakan," katanya kepada kepada media ketika melawat pusat pengumpulan bantuan makanan di Dewan Sri Sulaman, Tuaran hari ini.

Berikutan keadaan semasa Covid-19 di Sabah yang tinggi, beliau turut menasihatkan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik yang sedang giat mengagihkan bantuan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Bagi kawasan berisiko tinggi, kita menggalakkan sukarelawan yang ingin menyumbang bantuan menghubungi Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOB) daerah yang terlibat.

"Kita kena patuhi SOP kerana bukan saja menghadapi bencana yang biasa tetapi mempunyai risiko penyakit berjangkit.

"Jadi satu tugas penting sebagai rakyat Malaysia untuk mengawal pergerakan yang perlu sahaja supaya kita tidak menjadi ejen yang tanpa sedar memberi pendedahan risiko penyakit," katanya.

Bagaimanapun, Shahelmey berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan sebarang kerjasama daripada pelbagai pihak tidak kira NGO atau parti politik yang lain bagi bersama-sama membantu mereka yang terjejas akibat Covid-19.

Artikel Berkaitan: