Pembangkang kecewa usul tatacara pemakaian ditolak

Rizam (tiga dari kiri) menjawab soalan pemberita ketika sidang akhbar di lobi bangunan Annex, hari ini.
Rizam (tiga dari kiri) menjawab soalan pemberita ketika sidang akhbar di lobi bangunan Annex, hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pembangkang Selangor kecewa apabila usul tatacara pemakaian baju kebangsaan ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ditolak hari ini.

Ketuanya, Rizam Ismail berkata, pihaknya telah menghantar notis pemberitahuan usul berkenaan kepada Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim semalam bagi meminta pertimbangannya berhubung tatacara pemakaian baju kebangsaan itu supaya tidak hanya dikhususkan pada Jumaat sahaja.

Beliau berkata bagaimanapun, pembangkang Selangor kecewa apabila wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang tidak menyokong usul berkenaan sehingga menyebabkan ia ditolak.

"Usul ini telah ditolak apabila gagal mendapat sokongan satu pertiga atau 19 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.

"Kami amat kecewa dengan tindakan ADUN kerajaan yang tidak menyokong bagi memartabatkan baju kebangsaan," katanya ketika sidang akhbar di lobi Bangunan Annex hari ini.

Isu berkenaan tatacara pemakaian di DUN Selangor menjadi kecoh apabila ADUN pembangkang mempertikaikan teguran Suee Lim berhubung kod pemakaian ketika persidangan DUN berlangsung Isnin lalu.

Suee Lim sebelum ini berkata, pemakaian baju kebangsaan hanya dibenarkan pada hari Jumaat dan pembangkang dilihat cuba meraih kepentingan politik berhubung perkara itu.

Dalam pada itu, ADUN Sungai Panjang, Datuk Imran Tamrin berkata, pembangkang kesal dengan penolakan usul berkenaan yang langsung tidak sempat untuk dibahaskan oleh setiap ADUN di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, kami akur dengan arahan tersebut," katanya.