Belanjawan 2021: Pembangunan Koridor Lateks antara dicadang KPPK

Khairuddin Aman Razali
Khairuddin Aman Razali
A
A
A

PUTRAJAYA- Pembangunan Koridor Lateks Wilayah Timur di Pahang, Terengganu dan Kelantan antara empat cadangan inisiatif utama yang dikemukakan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dalam Belanjawan 2021.

Menterinya, Datuk Khairuddin Aman Razali dalam kenyataan berkata, cadangan itu bagi meningkatkan pengeluaran lateks negara.

"Inisiatif ini akan dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah melalui harga premium yang bakal dinikmati berbanding harga getah cumplumps," katanya.

Menurutnya, KPPK turut berharap agar skim penstabilan pendapatan pekebun kecil menerusi Insentif Pengeluaran Getah (IPG)

dapat diteruskan.

"Kementerian amat prihatin dengan cabaran yang diharungi oleh pekebun kecil getah dalam meneruskan kelangsungan hidup terutama mereka yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata, selain itu, KPPK turut mencadangkan kerajaan memperkenalkan semula skim Geran Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS-G).

"Jika diluluskan, skim tersebut akan dihadkan kepada pekebun kecil dalam kalangan B40 dengan saiz pemilikan tanah di bawah 3.5 hektar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Khairuddin berkata, dengan pemberian geran TSPKS-G, pendapatan pekebun kecil persendirian dijangka meningkat.

"Hasil pengeluaran lebih tinggi dijangka diperoleh dengan menggunakan anak benih berkualiti untuk menggantikan pokok sawit berumur melebihi 25 tahun yang tidak lagi produktif," katanya.

Menurutnya, bagi meneruskan kesinambungan jaminan bekalan bahan mentah dalam sektor perkayuan, KPPK turut mencadangkan agar Dana Pusingan (Revolving Fund) bagi Program Pinjaman Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) diperkenalkan.

"Pendekatan baharu ini adalah merupakan penambahbaikan kepada PPLH yang telah dilaksanakan di negara ini sejak 2007," katanya.

Tambahnya, melalui pemberian dana pusingan itu, bekalan bahan mentah untuk masa hadapan sektor perkayuan adalah terjamin.

"Ia penting agar sumbangan kepada pendapatan eksport negara daripada sektor ini iaitu antara RM22 bilion hingga RM23 bilion setiap tahun dapat dikekalkan atau ditingkatkan," katanya.

Selain itu katanya, kementerian turut mengesyorkan pembangunan secara agresif bagi industri coklat negara melalui penubuhan Hab Coklat di Langkawi dan Pusat Perdagangan Koko di tiga pelabuhan utama di Malaysia.

"Kementerian berharap Belanjawan 2021 dapat dizahirkan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran industri agrikomoditi yang merupakan teras kepada pembangunan ekonomi negara," katanya.