Keengganan KKM kongsi data sukarkan pencegahan Covid-19

Dr Siti Mariah Mahmud
Dr Siti Mariah Mahmud
A
A
A
SHAH ALAM - Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang enggan berkongsi data wabak Covid-19 menyukarkan kerajaan Selangor untuk mencegah penularan wabak tersebut di negeri ini.

Exco Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita & Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kerajaan negeri berasa sedih dengan keputusan KKM itu memandangkan data yang diminta berkenaan tidak melibatkan sebarang privasi mana-mana pihak.

Beliau berkata, halangan bagi mendapatkan data itu dibimbangi hanya akan menimbulkan rasa panik dalam kalangan rakyat sekiranya berlaku penularan Covid-19 di sesebuah kawasan.

"Jika kita tak ada data, sukar untuk kita menjawab sekiranya rakyat bertanya tentang sesuatu kejadian atau statistik.

"Tujuan kita minta data adalah untuk bantu kesan jumlah kes dan bekerjasama dengan penduduk untuk buat kempen bagi memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya sewaktu Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Mariah berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Elizabeth Wong Peng Kiat (PKR-Bukit Lanjan) yang bertanyakan sama ada penularan wabak Covid-19 dapat diatasi sekiranya mendapat data berkenaan.

Sebelum ini, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berharap KKM dapat berkongsi data bagi membolehkan mereka melengkapkan analitik yang dibangunkan.

Mengulas lanjut, Mariah berkata, sewaktu awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari juga telah menyatakan hasrat berhubung keperluan data berkenaan dan usaha bagi mengintegrasikan sistem SELangkah dan MySejahtera menerusi pertemuan bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

"Bagaimanapun, KKM menyatakan bahawa data itu tidak dapat dikongsikan berikutan dibimbangi akan disalah tafsir.
Artikel Berkaitan:


"Jadi kita ibarat seperti dalam keadaan buta, tak ada maklumat untuk bantu cegah penularan wabak ini.

Tambah Mariah, kerajaan Selangor menerusi STFC kini fokus melaksanakan proses saringan bersasar terdiri dalam kalangan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pengawal keselamatan dan mereka yang terlibat dalam kerja pembersihan.