X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

13,000 liter minyak masak dirampas

Sisa plastik minyak masak subsidi paket 1kg yang telah dikoyakkan ditemui KPDNHEP dalam serbuan di taman perindustrian, Pelabuhan Klang pada Isnin lalu.
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 13,000 liter minyak masak subsidi dirampas sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di dalam 13 unit tangki fiber melalui serbuan ke atas stor di taman perindustrian di Pelabuhan Klang, Isnin lalu.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman dalam kenyataannya berkata, pasukannya turut merampas 6,919 paket minyak masak seberat satu kilogram (kg).

"Terdapat sisa plastik minyak masak bersubsidi paket 1kg yang telah dikoyakkan," katanya.

Menurutnya, stor tersebut dikenal pasti sebagai tempat untuk melakukan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi paket 1kg untuk dipindahkan ke dalam bekas minyak masak industri.

"Hasil risikan bahagian ini mendapati sindiket beroperasi dengan mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi paket 1kg daripada pemborong berlesen," katanya.

Beliau berkata, minyak masak bersubsidi paket 1kg akan dileraikan dan dikumpulkan di dalam satu tangki fiber yang berkapasiti 1,000 liter untuk dipasarkan dengan harga bukan subsidi sekali gus memberikan keuntungan tinggi.

Iskandar berkata, dalam serbuan jam 5.30 petang itu, tujuh orang pekerja lelaki warga asing berumur 18 hingga 25 tahun yang berada di premis itu telah ditahan bagi membantu siasatan.

"Seorang lelaki warganegara tempatan berumur 42 tahun yang bertanggungjawab terhadap aktiviti di premis tersebut turut ditahan," katanya.

Menurutnya, peralatan untuk pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki fiber industri turut disita dari premis tersebut.

"Jumlah sitaan dianggarkan bernilai RM58,212.50," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah melibatkan urusan secara borong atau runcit barang kawalan iaitu minyak masak tanpa lesen sah.

Sementara itu, hasil risikan turut membawa kepada serbuan berasingan secara serentak di premis perniagaan di Pulau Indah Industrial Park, Pulau Indah, Selangor.

"Premis perniagaan ini dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti sindiket pemilikan minyak masak bersubsidi di stor pemindahan minyak masak tersebut.

"Dokumen-dokumen bukti bagi pembelian serta pembekalan dan buku stok barang kawalan oleh perniagaan ini disita bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Peraturan 13 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!