Keluarga tidak putus asa cari mangsa lemas di Pulau Sebatik

APMM menamatkan SAR seorang lagi mangsa lemas di Jeti Teck Guan, Kampung Bergosong, Pulau Sebatik, Tawau semalam.
APMM menamatkan SAR seorang lagi mangsa lemas di Jeti Teck Guan, Kampung Bergosong, Pulau Sebatik, Tawau semalam.
A
A
A

TAWAU - Ahli keluarga dua beradik lemas dibawa arus ketika mandi di Jeti Teck Guan, Kampung Bergosong, Pulau Sebatik masih meneruskan usaha mencari seorang lagi mangsa walaupun Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menamatkan operasi itu semalam.

Menurut bapa saudara kepada kedua kanak-kanak itu, Khalib Abdul Kadir, 53, usaha mencari anak saudaranya Nazwa Telson, 8, diteruskan hari ini bermula jam 10 pagi oleh ahli keluarga dan penduduk kampung berkenaan.

"Kami masih berharap mangsa ditemui walaupun sudah memasuki hari keenam kehilangannya.

"Usaha mencari masih dilakukan hari ini walaupun pihak berkuasa sudah menamatkan operasi. Kami mencari dengan bantuan penduduk kampung," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Bagaimanapun, Khalib berkata, jika anak saudaranya tidak ditemui usaha mencari akan dihentikan hari ini.

"Semoga hari ini kami menemui petanda supaya usaha mencari dapat diteruskan tetapi jika tiada kami tamatkan hari ini," katanya.

Terdahulu, Khalib berkata, mayat seorang lagi anak saudaranya, Madsun, 5, ditemui di perairan Indonesia Ahad lalu sudah dikebumikan sehari selepas itu.

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten V Siva Kumar berkata, operasi mencari dan menyelamat seorang lagi kanak-kanak perempuan yang dikhuatiri lemas Jumaat lalu ditamatkan pada jam 6.30 petang semalam.

Artikel Berkaitan:

"SAR telah ditamatkan berikutan tiada penemuan dan petunjuk baharu serta peluang menjumpai mayat tipis. Bagaimanapun pemantauan berterusan akan dilakukan oleh aset APMM yang bertugas dan operasi akan diaktifkan semula sekiranya terdapat sebarang petunjuk baharu," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, SAR dengan kerjasama pelbagai agensi pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk setempat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan dua beradik lemas ketika mandi di Jeti Teck Guan pada Jumaat lalu.