Peniaga ayam didenda gaji pekerja asing tanpa permit

Zulkurnain sedang melakukan urusan bayaran denda di mesin pembayaran di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu hari ini dengan dibantu kakitangan mahkamah bertugas.
Zulkurnain sedang melakukan urusan bayaran denda di mesin pembayaran di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu hari ini dengan dibantu kakitangan mahkamah bertugas.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga ayam di Pasar Besar Kuala Berang, Hulu Terengganu didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menggaji seorang pekerja wanita warga Indonesia tanpa permit sah, pada September lalu.

Tertuduh, Zulkurnain Hassan, 53, turut berdepan hukuman lima bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan dibuat Hakim Nooriah Osman selepas tertuduh mengaku bersalah bagi pertuduhan di bawah Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63 yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengambil seorang pekerja wanita warga Indonesia berusia 32 tahun tanpa permit sah di sebuah tempat menjual ayam proses, di Pasar Besar Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 12 tengah hari pada 23 September lalu.

Di mahkamah sama, seorang kontraktor juga berdepan nasib sama apabila didenda RM10,000 kerana membenarkan dua imigran haram tinggal di premisnya, bulan lalu.

Tertuduh, Yahya Mamat, 36, turut diarahkan dipenjara lima bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Keputusan dibuat selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan membenarkan dua imigran haram iaitu seorang warga Myanmar, 35, dan seorang lagi warga Bangladesh, 34, untuk masuk atau tinggal di sebuah tapak pembinaan di Jalan Kampung Paya Pinang 1, Kampung Butut Baru, Kuala Berang, Hulu Terengganu, jam 11.45 pagi pada 6 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63(Akta 155) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E (2) akta sama yang boleh dihukum denda antara RM5,000 dan RM30,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Terengganu, Noraznie Alias dan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.