SKMM kesan lebih sejuta talian telefon meragukan

Sebanyak 1,377,862 talian telefon prabayar yang didaftar secara meragukan setakat Oktober lalu termasuk 920,217 talian ditamatkan perkhidmatan. - Foto 123RF
Sebanyak 1,377,862 talian telefon prabayar yang didaftar secara meragukan setakat Oktober lalu termasuk 920,217 talian ditamatkan perkhidmatan. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesan 1,377,862 talian telefon prabayar yang didaftar secara meragukan setakat Oktober lalu.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 920,217 talian ditamatkan perkhidmatan dan 457,645 dikemaskini dengan maklumat yang sah.

Menurutnya, maklumat itu diperoleh melalui pengesanan audit data pengesahan data dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengesahkan integriti pangkalan data pelanggan talian telefon prabayar.

"Ini bagi mengelakkan disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk tujuan penipuan dan seumpamanya.

"KKMM melalui Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) juga melaksanakan strategi komunikasi yang terancang melalui saluran platform media sosial rasmi JaPen bagi memastikan rakyat mendapat maklumat tepat dan sahih berkenaan penipuan siber," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Mohamad Alamin (BN- Kimanis) mengenai inisiatif kementeriannya bagi memastikan rakyat selamat daripada penipuan siber yang menggunakan aplikasi tidak sahih dan panggilan telefon.

Katanya, kegiatan penipuan siber atau scam sama ada dalam atau luar talian tertakluk di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia (BNM) atau agensi berkenaan mengikut bentuk penipuan yang dilakukan.

Katanya, bagi perkara berkaitan siasatan, terdapat Jawatankuasa Jenayah Siber PDRM-SKMM ditubuhkan dan digerakkan bagi menerajui gerak kerja serta tindakan lebih strategik dan tersusun dalam membanteras jenayah siber termasuk penipuan atau scam.

Artikel Berkaitan:

"Kerjasama dan kolaboratif antara kedua-dua pihak terutama dalam perkongsian maklumat dan kepakaran bertepatan bagi melancarkan aktiviti penguatkuasaan supaya dapat menangani isu penyalahgunaan media sosial dengan lebih efektif," katanya.