X

Kindly register in order to view this article
!

Tujuh sekeluarga terperangkap banjir kilat

Anggota bomba sedang menyelamatkan mangsa banjir kilat yang terperangkap dalam kejadian di Kampung Binjai, Chendering Kuala Terengganu malam tadi. Gambar kecil:Abdullah dan Tuan Syarifah
A
A

KUALA TERENGGANU - Tujuh sekeluarga terperangkap akibat kediaman mereka dinaiki air selepas hujan lebat berterusan bermula jam 6 petang dalam kejadian banjir kilat di Kampung Binjai, Chendering di sini semalam.

Mangsa, Abdullah Ibrahim, 43, berkata, air mula naik mendadak di kediamannya sekitar jam 7.30 malam dan menyifatkan kejadian berlaku sangat pantas menyebabkan beliau sekeluarga tidak sempat memindahkan barang ke tempat lebih tinggi.

"Kejadian ini berlaku setiap tahun tetapi kali ini air naik dengan cepat dan dalam tempoh tidak sampai sejam sudah memenuhi ruang rumah," katanya.

Seorang lagi mangsa, Tuan Syarifah Tuan Abdullah, 62, berkata, beliau sememangnya sudah bersedia sekiranya hujan turun.

Bagaimanapun, katanya, keadaan yang berlaku terlalu cepat itu menyebabkan beliau tidak sempat menyelamatkan beberapa peralatan rumah ke tempat lebih selamat kerana air sudah mula memasuki rumah ketika beliau sedang berkemas di bahagian dapur.

"Sekelip mata saja, air sudah masuk ke dalam rumah dan ketika itu air sudah separas pinggang saya.

"Saya naik ke bahagian atas rumah dan meninggalkan semua barang di dapur selain tidak sempat mengangkat mesin basuh serta peti sejuk," katanya.

Sementara itu, kesemua mangsa diselamatkan sepasukan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Kuala Terengganu malam tadi dan dipindahkan ke rumah tumpangan berhampiran.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Pegawai Bomba Kanan 2 Mokhtar Dollah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.22 malam memaklumkan kejadian itu.

Katanya, kediaman mangsa dinaiki air sedalam 1.5 meter dan usaha memindahkan kesemua mangsa berusia antara dua hingga 62 tahun itu bermula kira-kira jam 9.15 malam.

"Lima anggota bomba mengambil masa kira-kira 30 minit bagi memindahkan kesemua mangsa ke rumah tumpangan berhampiran," katanya.

"Mangsa memilih untuk tidak keluar sendiri kerana bimbang air sudah mencecah lebih 1.5 meter. Seorang mangsa warga emas pula mengalami masalah sakit lutut," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai terutama yang tinggal di tempat rendah supaya berpindah awal bagi mengelak sebarang risiko yang tidak diingini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!