‘Saya terpaksa masak nasi goreng minyak untuk anak-anak’

Suhasnita menyeka air mata saat berkongsi kesusahan keluarganya terutamanya sewaktu PKP.
Suhasnita menyeka air mata saat berkongsi kesusahan keluarganya terutamanya sewaktu PKP.
A
A
A

[LAPORAN KHAS] SHAH ALAM - “Kami berdepan masalah kewangan kerana gaji suami dibayar lambat, barang dapur tiada dan terpaksa berlapar, namun kami masih bersyukur kerana keadaan tidak seteruk ketika awal-awal tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu,” kata Suhasnita Ismail, 40, yang berkongsi kisah kesempitan hidup kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Ketika ditemui di rumahnya di Taman Mawar, Puchong, ibu kepada lima anak itu mengakui ahli keluarganya terpaksa mengikat perut apabila tiada wang untuk membeli bahan makanan.

“Pernah dapur tidak berasap selama tiga hari dan kami terpaksa ketuk pintu jiran untuk meminjam beras,” kata Suhasnita yang menceritakan sebelum ini suaminya terpaksa berhenti kerja berikutan tiada wang untuk berulang-alik ke tempat kerja yang jauh.

Umpama jatuh ditimpa tangga, satu-satunya motosikal milik suami turut dicuri menyebabkan mereka kebuntuan dalam mencari pendapatan untuk menampung perbelanjaan harian keluarga pada ketika itu.

“Ada satu hari, hanya tinggal beras, garam dan minyak masak di rumah. Saya terpaksa masak ‘nasi goreng minyak’ untuk diberi makan kepada anak-anak.

“Bukan tidak sedih, kadang orang kata, tiada adik-beradik yang boleh tolong? Bila kita minta tolong, mereka pun susah.

“Sekali dua orang tolong, kalau selalu kita pun rasa segan. Sanggup diam, usaha apa yang ada, makan apa yang ada,” ujarnya dengan linangan air mata.

Sementara itu, melihat keadaan rumah Suhasnita yang tersusun rapi, tidak disangka kebanyakan kelengkapan rumah seperti perabot, kerusi, meja malah permainan anak-anak kecilnya dikutip dari tempat pembuangan sampah.“Lima, enam tahun kami kumpul barang-barang buangan, bila ada orang buang barang yang agak elok kami kutip dan baiki.

Artikel Berkaitan:

“Ada juga kelengkapan seperti televisyen dan katil yang disumbangkan oleh keluarga terdekat,” katanya lagi.

Bantuan daripada NGO membantu meringankan beban keluarga Suhasnita.
Bantuan daripada NGO membantu meringankan beban keluarga Suhasnita.

Menurut wanita kelahiran Kelantan itu, di sebalik segala kepayahan hidup yang ditempuhi, anak-anaknya yang berusia dalam lingkungan umur empat hingga 16 tahun itu tidak pernah merungut malah amat memahami situasi keluarga.

"Kami ini banyak Allah tolong, anak-anak dari umur dua tahun tidak memakai lampin pakai buang, tidak minum susu, jadi kami banyak jimat," katanya yang memberitahu suami bekerja sebagai tukang baiki penghawa dingin..

Suhasnita menambah, keadaan keluarganya kini agak baik berbanding dahulu dan dirinya berasa amat bersyukur kerana menerima pelbagai bentuk bantuan seperti peruntukan zakat untuk membayar sewa rumah dan kelengkapan persekolahan anak-anak sama ada daripada pihak kerajaan, NGO dan orang persendirian.

"Sekarang anak-anak dapat pergi ke sekolah dengan menumpang guru mereka dan seorang pemandu van sekolah sanggup menghantar anak keempat tanpa mengambil sebarang bayaran," kata Suhasnita yang baru-baru ini menerima bantuan makanan daripada aktivis masyarakat, Uncle Kentang.

Meskipun banyak menerima bantuan, itu bukanlah alasan untuk hanya berpeluk tubuh sebaliknya Suhasnita kini berjinak-jinak dengan perniagaan 'dropship' kosmetik sementara anak sulungnya menjual pakaian bundle dalam talian demi meringankan beban kewangan keluarga.

Ditanya tentang harapan terhadap Belanjawan 2021, Suhasnita berharap peruntukan bantuan sewajarnya dapat diberikan kepada golongan berpendapatan rendah terutama B40 yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.

“Kita tidak tahu bila Covid-19 akan berakhir jadi diharapkan bantuan sedia ada seperti pengeluaran i-Lestari daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dapat diteruskan untuk satu tempoh yang lebih lama,” katanya.