Liga-M ambil masa perubahan total

Kejayaan dicapai JDT ketika ini adalah hasil daripada transformasi dilakukan sejak tahun 2013. - Foto Facebook Johor Southern Tigers
Kejayaan dicapai JDT ketika ini adalah hasil daripada transformasi dilakukan sejak tahun 2013. - Foto Facebook Johor Southern Tigers
A
A
A

PASUKAN Liga Malaysia (Liga-M) memerlukan masa untuk memastikan proses penswastaan yang merangkumi pemisahan daripada persatuan bola sepak (FA) ke kelab bola sepak (FC) dilaksana sepenuhnya.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa berkata, kebanyakan pasukan masih mempunyai pegangan saham daripada pengurusan FA terdahulu.

Menurutnya, agak sukar mencari pelabur dalam masa terdekat dan pasukan berkenaan memerlukan tempoh sekurang-kurangnya lima tahun untuk bergerak sepenuhnya sebagai sebuah kelab profesional.

“Sekarang ini persoalannya sejauh mana pengurusan FA itu bersedia dan mempunyai perancangan peralihan menjual saham FC tersebut. Kalau tiada perancangan, boleh dikatakan penswastaan sepenuhnya dengan memastikan FC itu bergerak sendiri tidak akan berlaku.

“Saya fikir Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga perlu ada garis panduan yang betul-betul kukuh untuk memastikan FA ini bersedia melepaskan sepenuhnya pegangan kepada pelabur,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sebelum ini, FAM telah mengumumkan kesemua pasukan kecuali Felda United dan UKM FC telah lulus proses penswastaan, sekali gus membolehkan mereka bersaing dalam Liga-M musim depan.

Bagaimanapun, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan penswastaan tersebut hanya sekadar atas kertas kerana masih terdapat pasukan yang mengharapkan dana kerajaan.

Mengulas lanjut, Mohd Sadek mengakui apa yang disuarakan Tunku Ismail bahawa tindakan pasukan yang masih bergantung kepada dana kerajaan adalah realiti dalam saingan Liga-M ketika ini.

Artikel Berkaitan:

“Itu kenyataan sebenar yang berlaku dan memang tepat sepertimana yang dikatakan Tunku Ismail. Kalau nak buat 100 peratus penswastaan, tiada pasukan yang layak selain beberapa pasukan seperti JDT.

“Banyak kekangan yang ada jika nak beli pasukan dalam masa yang terdekat, apatah lagi kebanyakan pelabur juga mahu melihat kejayaan sesebuah pasukan dahulu sebelum ambil keputusan melabur,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Sadek menganggap tempoh dua tahun yang diberikan FAM untuk melihat pemisahan sepenuhnya dilakukan daripada FA ke FC tidak akan berjaya.

“24 bulan adalah masa yang sangat singkat dalam dunia perniagaan. Dalam konteks perniagaan sekarang, mereka memerlukan modal pusingan bukan hanya untuk tempoh 24 bulan, tetapi 60 bulan untuk terus survive menanggung kerugian.

“Modal itu boleh dikatakan sebagai modal hangus yang terpaksa dikeluarkan dulu oleh pelabur. Ditambah pula dalam keadaan Covid-19 ini, tiada suntikan dana daripada penonton, penaja, hak penyiaran dan penjualan cenderahati.

“Perkara ini memberikan limitasi yang besar kepada pasukan menjana sumber kewangan sebagai modal. Sebab itu mereka akan terus bergantung kepada dana kerajaan negeri,” katanya.