X

Kindly register in order to view this article
!

Tidak sedar menolak kebenaran

A
A

FITNAH menurut makna daripada bahasa Arab adalah ujian dan cubaan, namun mengikut erti fitnah dalam bahasa Melayu ia adalah pembohongan ke atas seseorang atau sesuatu. Menyampaikan hal buruk yang palsu itu fitnah, menyampaikan hal baik yang palsu juga adalah fitnah.

Mutakhir ini kita selalu menerima fitnah daripada pelbagai sumber. Hal yang tiada diada-adakan, yang ada dikatakan tiada dan tidak betul dikatakan betul. Hari ini kita mempunyai akses untuk merujuk sesuatu berita yang diterima itu dengan segera melalui carian di internet bagi mendapat pengesahan.

Namun, meskipun kita berakal, kita sering terlupa untuk menggunakannya kerana fikiran kita sudah kotor dan tersumbat dengan pelbagai informasi. Akhirnya, apabila otak kita sudah penat, fikiran kita tidak boleh menimbang lagi yang mana satu hal yang benar, yang mana satu palsu.

Dalam pada kita dihujani pelbagai berita dan maklumat yang benar serta palsu, ada satu lagi situasi yang kian menjadi pendirian kita tanpa kita sedari. Situasi itu adalah pendirian kita menolak sesuatu yang benar meskipun ia terbukti sahih.

Pada peringkat peribadi, kita tahu apabila kita tidur lewat dan bangun awal, badan kita masih letih, fokus kita terganggu dan kita akan mengantuk pada siang hari. Kita tahu apabila kita makan pedas berlebihan, perut kita akan meragam dan apabila kita tidak bersenam, berat badan kita akan bertambah.

Fakta yang kita maklumi itu adalah benar. Apabila kita selusuri internet untuk mendapat maklumat, kita akan memperoleh berpuluh bahan bacaan dan tontonan yang mengesahkan fakta tersebut tetapi kita menolak kebenaran itu dengan tidur lewat, terus makan yang pedas-pedas dan tidak bersenam.

Padahal, jika kita merujuk dengan lebih mendalam daripada laman web mahupun pakar perubatan, kita akan peroleh fakta lebih menggerunkan. Tidak cukup tidur boleh melemahkan sistem imun dan memudahkan kita terkena penyakit, makanan pedas-pedas boleh akibatkan ulser dan tidak bersenam bakal mendatangkan masalah jantung.

Dalam kehidupan seharian, kita tahu tidak membayar wang parkir itu adalah kesalahan. Ia juga adalah suatu bentuk penipuan dan berdosa. Melanggar lampu merah juga adalah melanggar peraturan. Ia juga berdosa kerana melanggar undang-undang pemerintah. Tidakkah ketidakpatuhan itu tanda kita menerima kesalahan dan menolak kebenaran?

Tentu sekali sekiranya hal-hal mengenai peribadi yang menyentuh aspek fizikal dan kehidupan yang berkait dengan aspek mental tidak kita pedulikan, kita dengan sendirinya akan menolak hal-hal yang abstrak berhubung dengan aspek spiritual. Kita layani kehendak jasad dan akhirnya kita terlupa kita punyai roh yang sentiasa mengajak kita kembali kepada kebenaran.

Kita tahu ALLAH SWT, kita tahu Nabi Muhammad SAW. Kita wajib mengikut perintah ALLAH SWT dengan mengamalkannya seperti cara Rasulullah SAW lakukan. ALLAH SWT tidak dapat kita lihat, Rasulullah SAW pula sudah wafat tetapi bukti kewujudan ALLAH SWT dan Muhammad SAW ada di dalam al-Quran.

Kitab itu adalah satu bentuk dokumen sahih lagi benar. Namun, mengapa kita selalu mengetepikannya sebagai bahan rujukan kehidupan? Apakah tanpa kita sedari, kita sudah menjadi golongan yang menolak kebenaran? Apabila al-Quran tiada di sisi, roh kita tiada santapan dan ia lemah.

Fizikal dan mental kita akan mereput sehinggakan kita bukan sahaja menolak kebatilan tetapi turut mengetepikan kebenaran. Renungilah betapa banyak kebenaran yang sudah kita tolak dan sebaliknya hidup dalam kebatilan yang kosong. Semoga kita dijauhkan daripada sikap tersebut.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!