Satu kes lagi libat Kluster Makekar di Terengganu

Jumlah kes Covid-19 di Terengganu mengikut daerah. - Foto Facebook JKNT
Jumlah kes Covid-19 di Terengganu mengikut daerah. - Foto Facebook JKNT
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Terengganu merekodkan pertambahan satu kes sembuh dan satu kes baharu koronavirus (Covid-19) menjadikan kes Covid-19 aktif di negeri ini kekal 46 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 210 kes.

Bagaimanapun, kesemua 46 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan dirawat di wad biasa yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19 di Hospital Hulu Terengganu dan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menerusi maklumat yang dikongsi di Facebook rasmi jabatan itu memaklumkan, kes baharu pada hari ini berasal dari mukim Rantau Abang, Dungun dan merupakan kontak rapat (rakan sekerja) kepada kes indeks Kluster Makekar.

Menurut kenyataan itu, individu berkenaan telah dikuarantinkan di pusat kuarantin mulai 23 Oktober lalu.

"Ujian saringan pertama pada 24 Oktober adalah negatif, manakala melalui ujian ulangan beliau telah didapati positif pada 2 November. Ekoran pengasingan awal kes dari tempat kerja, tiada pendedahan kepada ahli keluarga atau komuniti bagi kes ini.

"Secara umumnya Kluster Makekar melibatkan dua lokaliti utama iaitu tempat kerja dan mukim Rasau. Sehingga 3 November, jumlah keseluruhan kes Kluster Makekar adalah sebanyak 47 kes di mana 23 dalam kalangan rakan tempat kerja dan 24 dalam kalangan penduduk di mukim Rasau.

"Untuk mencegah penularan di kawasan ini, aktiviti pengesanan dan saringan secara aktif dalam kalangan kontak rapat serta komuniti masih lagi giat dijalankan terutama di kawasan Ketengah Jaya," menurut kenyataan itu.

JKNT juga meminta penduduk di gugusan Felda Kertih, Ketengah Jaya untuk terus mengelakkan pergerakan keluar dan masuk di kawasan itu buat sementara waktu selain diminta untuk mematuhi arahan untuk duduk di rumah dan tidak keluar tanpa urusan penting.

Artikel Berkaitan:

"Bagi mereka yang mempunyai apa-apa gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, sakit tekak, batuk, selesema, hilang deria bau (anosmia) diminta untuk segera hadir ke Klinik Kesihatan Ketengah Jaya atau mana-mana klinik kesihatan berhampiran bagi menjalani saringan oleh petugas kesihatan," katanya.

Sehingga 3 November, terdapat empat kluster aktif yang didaftarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di Terengganu iaitu Kluster Makekar dengan 47 kes, Kluster Bah Tanjung (8), Kluster Bah Sahabat (11) dan Kluster Bah Bemban sebanyak 10 kes.

Pada 3 November juga, terdapat tiga kluster di negeri lain yang melibatkan kes di Terengganu iaitu Kluster SIMERA sebanyak 3 kes, Kluster Menara (1) dan Kluster Kencana (1).