Malaysia sah hantar wakil ke Bangkok

Mohamad Norza Zakaria
Mohamad Norza Zakaria
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas kali terakhir menyertai kejohanan di All-England pada Mac lepas, skuad negara boleh menarik nafas lega selepas mereka sah akan menyertai dua saingan bertaraf Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Super 1000 di Bangkok, Thailand pada Januari 2021.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memaklumkan, badan induk itu bersetuju menghantar pemain negara ke dua kejohanan berkenaan bagi memantapkan persediaan mereka bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijadual berlangsung pada Julai 2021.

“Kita akan hantar pemain kita yang layak ke kedua-dua kejohanan berkenaan mengikut ranking dunia masing-masing,” katanya kepada Bernama hari ini.

Baru-baru ini, BWF mengesahkan Persatuan Badminton Thailand (BAT) akan menganjurkan Kejohanan Yonex Terbuka Thailand pada 12 hingga 17 Januari 2021 dan Kejohanan Toyota Terbuka Thailand dari 19 hingga 24 Januari 2021.

Dua lagi kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF yang telah berlangsung adalah Malaysia Masters pada 7 hingga 12 Januari dan All-England dari 11 hingga 15 Mac lepas.

Masing-masing lapan pemain perseorangan dan beregu terbaik dalam ranking Jelajah Dunia BWF, layak beraksi pada Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF bagi musim 2020 yang bakal diadakan dari 27 hingga 31 Januari tahun depan di Bangkok, yang menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah AS$1.5 juta (RM6.235 juta).

Pada masa sama, Mohamad Norza menegaskan, barisan pemain negara tidak perlu bimbang berhubung keselamatan mereka sepanjang menyertai dua kejohanan itu memandangkan Persatuan Badminton Thailand telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) ketat sepanjang kejohanan berkenaan bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

BAM sebelum ini memutuskan untuk tidak menghantar pemain negara menyertai Kejohanan Terbuka Denmark di Odense pada bulan lepas kerana tidak yakin dengan kemampuan penganjur serta BWF berhubung SOP yang dilaksanakan bagi mencegah penularan Covid-19 sepanjang kejohanan berkenaan berlangsung. - Bernama

Artikel Berkaitan: