Bandar-bandar di AS siap sedia hadapi rusuhan awam

Sebuah premis perniagaan di New York melindungi tingkap kedai itu dengan papan lapis bagi mengelakkan ia dipecah masuk kumpulan perusuh. - Foto Agensi
Sebuah premis perniagaan di New York melindungi tingkap kedai itu dengan papan lapis bagi mengelakkan ia dipecah masuk kumpulan perusuh. - Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Bandar-bandar di Amerika Syarikat (AS) bersiap siaga untuk menghadapi rusuhan awam dan protes ganas ketika dan selepas Pilihan Presiden AS 2020 berlangsung.

Persediaan itu dibuat selepas Presiden Donald Trump dilaporkan merancang untuk mengumumkan kemenangan awal jika beliau 'mendahului' walaupun proses kiraan undi belum selesai.

Media tempatan melaporkan pasukan persekutuan dan anggota Biro Penjara Jabatan Kehakiman bersama Perkhidmatan Marsyal telah dikerah di jalan utama sekitar Washington.

Di bandar Kenosha yang menjadi lokasi akhir kempen pengundian semula Trump pada malam tadi juga mengambil langkah berjaga-jaga dengan menempatkan pasukan polis di City Hall dan pusat mengundi.

Sementara itu, beberapa kawasan bandar termasuk Minneapolis bersiap sedia untuk menghadapi sebarang insiden kekacauan.

Ketika ini, kira-kira 3,671 anggota tentera ditempatkan di 16 negeri termasuk 1,000 di Massachusetts untuk mengawal keselamatan bersama sejumlah Pengawal Negara.

Di New York, tingkap deretan kedai dan premis perniagaan ditutup dengan papan lapis bagi mengelakkan ia menjadi sasaran pecah masuk kumpulan perusuh.

"Semua orang bimbang dengan keputusan pilihan raya itu dan apa yang akan berlaku seterusnya," kata Datuk Bandar New York, Bill de Blasio.

Artikel Berkaitan:

Di Los Angeles, pasukan polis Beverly Hills akan melaksanakan perintah lockdown di Rodeo Drive selain merancang untuk mendirikan pagar di sekitar Rumah Putih.

Keputusan mengerahkan pasukan keselamatan sebagai usaha untuk mengekang sebarang insiden keganasan selepas negara itu pernah dilanda siri protes antirasisme yang membantah tindakan kekerasan polis yang menyebabkan kematian lelaki kulit hitam, George Floyd pada Jun lalu. - Agensi