Keluarga 'presiden sementara' Venezuela terima ugutan

Juan Guaido
A
A

CARACAS - VENEZUELA. Pemimpin pembangkang yang mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara Venezuela, Juan Guaido mendakwa keluarganya telah menerima ugutan di tengah-tengah krisis politik berterusan di negara itu.

Ketika berucap di Central University di Caracas, Guaido mendedahkan polis telah 'melawat' kediaman mereka dan mencari isterinya.

"Unit khas datang ke rumah kami dan bertanyakan tentang Fabiana. Kepimpinan diktator beranggapan mereka dapat menakutkan kami. Saya dapat maklumat itu sebelum datang ke sini. Tetapi, bukan saya yang mulakan, saya mulakan dengan rancangan untuk seluruh rakyat Venezuela.

"Anda perlu bertanggungjawab terhadap sebarang intimidasi pada bayi kami yang baru berusia 20 bulan," tegasnya.

Protes ganas melanda seluruh negara sejak Presiden Nicolas Maduro memulakan penggal kedua pemerintahan beliau pada 10 Januari lalu.

Pengisytiharan Guaido sebagai presiden sementara pada bulan lalu turut diiktiraf oleh Amerika Syarikat dan beberapa negara Latin manakala Maduro terus menerima sokongan Rusia serta China. - BBC