Pencemaran Sungai Kenoi: Pemilik tanah teruskan tindakan undang-undang

Kemusnahan hutan yang menjejaskan aliran Sungai Kenoi.
Gambar kecil: Shariffa Sabrina
Kemusnahan hutan yang menjejaskan aliran Sungai Kenoi. Gambar kecil: Shariffa Sabrina
A
A
A

BENTONG - Pemilik Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), kontraktor dan pemilik pelesen yang bertanggungjawab terhadap kerja-kerja pembalakan di kawasan Hutan Lentang di sini sehingga mengakibatkan pencemaran Sungai Kenoi.

Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Ali berkata, meskipun JPNP mengeluarkan arahan henti kerja sementara, kemusnahan telahpun berlaku.

Menurutnya, kerja-kerja penolakan jalan yang bermula sejak 15 Oktober itu langsung tidak melibatkan sebarang perbincangan bersama pihaknya selaku pemilik tanah terletak di aliran Sungai Kenoi yang terjejas.

"Keadaan di atas memang teruk. Mereka buka laluan besar sepanjang hampir tiga kilometer untuk ambil balak seluas 3.642 hektar untuk tempoh tiga bulan iaitu dari 15 Oktober 2020 hingga 14 Januari 2021. Ini tidak masuk akal.

"Saya akan teruskan tindakan saman kerana tidak ada sebarang perbincangan dengan saya di sini.

"Mereka tidak ikut undang-undang dengan betul dan apa yang saya nampak ini (penolakan jalan) kita bimbang ini juga untuk pembalakan sekeliling kerana hutan ini adalah hutan dara," katanya pada sidang akhbar berhubung isu tersebut di sini hari ini.

JPNP dalam satu kenyataan pada Ahad telah mengarahkan syarikat pelesen pembalakan di kawasan Hutan Lentang di Bentong supaya membersihkan sisa penolakan jalan yang menjejaskan Sungai Kenoi di lokasi itu.

Pembukaan jalan untuk pembalakan menjadi punca pencemaran Sungai Kenoi.
Pembukaan jalan untuk pembalakan menjadi punca pencemaran Sungai Kenoi.

Artikel Berkaitan:

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, JPNP turut mengarahkan kerja pembersihan bagi pembinaan jalan keluar di kawasan lesen pembalakan itu dihentikan serta-merta untuk penilaian semula.

Terdahulu tular di media sosial susulan video pertengkaran antara seorang lelaki dengan Shariffa Sabrina mengenai kerosakan alam sekitar di kawasan tersebut.

Mengulas lanjut, Shariffa Sabrina turut mempertikaikan pihak yang perlu bertanggungjawab memperbaiki semula kawasan terjejas yang akan memberi kesan buruk untuk jangka masa panjang.

"Persoalan saya sekarang siapa yang nak baiki mana-mana tanah cerun yang mereka telah buka melebihi 35 darjah.

"Apa akan terjadi kalau hujan lebat? Bimbang akan terjadi tanah runtuh dan akan menutup sungai tersebut. Itu akan membahayakan persekitaran di sini," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Presiden Pertubuhan Perlindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) pada masa sama menegaskan mahu kerajaan terutamanya kerajaan negeri untuk menjadikan hutan sebagai khazanah bukannya bank untuk mendapat keuntungan.

"Sepatutnya nak buka apa-apa hutan pun, mereka kena buat kajian sama ada tempat itu adakah kawasan tadahan air, ada sungai, ada hutan yang tebal. Apa yang berlaku, asalkan ada hutan, mereka bolos," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack yang ditemui pada sidang akhbar sama turut mempersoalkan kewajaran pemberian lesen pembalakan kawasan hutan simpan di situ.

"Saya telah bercakap tentang perkara ini kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di lobi Parlimen, beliau sedar apa yang berlaku, kita harap ada tindakan," katanya.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman dan ADUN Bilut, Lee Chin Chen.