Tindakan pakai baju kebangsaan bukan modal politik

Rizam Ismail
Rizam Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Ini bukan modal politik sebaliknya baju yang kami pakai ini adalah baju kebangsaan, demikian reaksi Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor Rizam Ismail mengenai tindakannya bersama beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang memakai baju Melayu pada sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Rizam berkata, pihaknya tidak terfikir tindakan ini bermodalkan politik kerana isu yang dibawa sepanjang perjalanan sidang DUN adalah isu rakyat.

"Tak pernah kita terfikir untuk jadikan modal politik, kita berbahas isu isu rakyat tak ada pun membawa isu baju kebangsaan ini sebab kita fokus kepada isu rakyat.

"Seperti mana yang kita tahu sebelum ini hari Jumaat, tapi apa salahnya benarkan pada hari biasa, ini baju kebangsaan lebih lebih lagi kita negeri maju iaitu Selangor, jadi saya rasa kita kena ada sifat berjiwa besar dan meraikan," katanya kepada Sinar Harian selepas sesi Dewan Negeri Selangor hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Sidang DUN Selangor kecoh lagi isu pakaian

Jelasnya, pakaian kebangsaan ini sebenarnya dalam peraturan dewan tidak dinyatakan secara spesifik berkaitan etika pemakaian.

"Jadi atas sebab itu, saya kira tak ada masalah untuk pakai baju kebangsaan memandangkan di Parlimen atau Dewan Rakyat sendiri ada kebebasan untuk berpakaian baju kebangsaan.

"Bukanlah kita ni dalam erti kata nak melanggar apa yang dikatakan oleh speaker, tapi kita juga minta pertimbangan daripada speaker untuk membenarkan adun memakai baju kebangsaan pada hari-hari biasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Sidang DUN Selangor kecoh apabila beberapa ADUN daripada Barisan Nasional (BN) didakwa telah melanggar etika pakaian pada sesi hari ini.

Speaker DUN, Ng Suee Lim berkata, sepatutnya ADUN menghormati etika pemakaian yang dibenarkan dalam sesi persidangan.