Dua makmal baharu tampung kapasiti ujian Covid-19 di Sabah

Datuk Seri Masidi Manjun
Datuk Seri Masidi Manjun
A
A
A

KOTA KINABALU - Dua makmal Molekular tambahan di dua hospital di negeri ini akan diwujudkan bagi menampung kapasiti ujian koronavirus (Covid-19) yang tinggi di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kedua-dua makmal itu dijangka akan mula beroperasi pada awal bulan depan.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa prihatin kepada setiap keperluan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam memerangi penularan wabak Covid-19.

"Bagi menampung kapasiti ujian yang tinggi di negeri ini, KKM telah menurunkan peruntukan bagi mewujudkan dua Makmal Molekular tambahan iaitu di Hospital Daerah Tawau dan Hospital Daerah Lahad Datu.

"Kedua-dua makmal ini mampu menjalankan 200 ujian sehari dan dijangka mula beroperasi pada awal Disember ini," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Masidi berkata, JKNS juga telah menerima tambahan kit ujian pantas (RTK)-Antigen sebanyak 200,000 unit daripada KKM.

"Setakat ini, sebanyak 117,825 kit ujian telah diagihkan kepada hospital, Pejabat Kesihatan Kawasan serta Pejabat Kesihatan Daerah.

"Pada masa sama, makmal ujian Polymerase chain reaction (PCR) Covid-19 sementara telah diwujudkan di Klinik Kesihatan Kubota, Tawau bagi menampung sebahagian ujian PCR di daerah itu. Makmal ini dijangka boleh beroperasi sepenuhnya pada minggu hadapan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas berhubung Kota Kinabalu yang kekal mencatat kes baharu positif Covid-19, beliau berkata, sebanyak 341 kes yang dilaporkan hari ini disebabkan Kluster Rumah Merah di Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Manggatal.

"Seperti yang diramal sebelum ini, jumlah kes di Kota Kinabalu akan naik mendadak dalam beberapa hari ini dan ia menjadi kenyataan apabila 229 daripada 341 kes baharu di Kota Kinabalu datang daripada kluster ini iaitu 67.2 peratus.

"Sementara itu, kes positif bagi Kluster Penjara Kepayan juga bertambah 42 kes lagi pada hari ini," katanya.

Beliau dalam pada itu turut memaklumkan, jumlah kes yang dicatat di Sabah hari ini adalah sebanyak 678 kes.

"Selain Kota Kinabalu, Tawau catat 135 kes, Tuaran (48), Sandakan (34), Semporna (19), Putatan dan Lahad Datu masing-masing catat 18 kes, Penampang (17).

"Papar dan Keningau masing-masing catat sembilan kes, Kudat (8), Kinabatangan (6), Kota Belud (4), Tongod (3), manakala Kota Marudu, Telupid, Beluran masing-masing catat dua kes, Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang catat satu kes," katanya.