X

Kindly register in order to view this article
!

625,200 penduduk Seremban terlibat PKPB

Aminuddin (dua dari kiri) menunjukkan peta mukim yang terlibat dengan PKPB di daerah Seremban.
A
A

SEREMBAN - Seramai 625,200 penduduk di lapan mukim di Seremban terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa 5 hingga 18 November ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, mukim yang terlibat ialah Ampangan, Seremban, Labu, Rantau, Rasah, Setul, Pantai dan Lenggeng.

"Negeri Sembilan sebelum ini telah melaksanakan PKPB di Zon Nilai dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Putra Point Nilai bermula 28 Oktober lepas, namun pola peningkatan kes khususnya di daerah Seremban yang dikesan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Seremban, menjadi justifikasi utama kerajaan negeri untuk melaksanakan PKPB di seluruh daerah Seremban bagi mengekang dan mengawal pergerakan orang ramai serta mengelakkan penularan wabak koronavirus (Covid-19) daripada terus meningkat.

"Justeru, dengan pengumuman penguatkuasaan PKPB Daerah Seremban, PKPB di Zon Nilai sebelum ini adalah dengan sendirinya terbatal memandangkan Zon Nilai adalah merupakan sebahagian daripada daerah Seremban, namun, PKPD di Putra Point Nilai dikekalkan," katanya pada sidang akhbar khas berhubung situasi Covid-19 di Wisma Negeri di sini petang tadi.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, selaras dengan pengumuman itu, pihak polis akan melaksanakan kawalan pergerakan seperti aliran keluar dan masuk di daerah Seremban, sekatan jalan raya, rondaan, mengeluarkan surat kebenaran pergerakan bagi kes-kes kecemasan dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP).

"Kawalan pergerakan ini akan dibantu oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

"Oleh itu pergerakan keluar masuk di daerah Seremban adalah tidak dibenarkan, sebarang permohonan keluar masuk hanya akan diberikan kepada pekerja yang mempunyai pas pekerja dengan pematuhan SOP yang ketat," katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, sektor perkhidmatan awam kerajaan negeri masih beroperasi seperti biasa, kecuali beberapa perkhidmatan agensi yang ditutup kepada orang awam seperti Perpustakaan Negeri.

"Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sembilan akan mengeluarkan SOP terperinci berkaitan PKPB daerah Seremban dalam masa terdekat setelah syor dan cadangan mendapat persetujuan daripada kerajaan Persekutuan," katanya.

Terdahulu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menguatkuasakan PKPB di Seremban berkuatkuasa pada 5 hingga 18 November 2020 yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!