Bekas pemain bola sepak Kelantan meninggal dunia

Foto Ihsan Kelantan United Football Club
Foto Ihsan Kelantan United Football Club
A
A
A

KOTA BHARU - Bekas pemain bola sepak Kelantan pada zaman 90-an, Saiful Nizam Hussin, 45, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, dekat sini pada 12.30 tengah malam tadi akibat ketumbuhan otak.

Abang kepada Allahyarham, Mohd Ausri Hussin, 53, berkata, Saiful Nizam meninggal dunia selepas menjalani operasi pembedahan membuang ketumbuhan pada bahagian otak buat kali kedua dan hampir lapan hari tidak sedarkan diri.

"Allahyarham mengalami ketumbuhan itu sejak tiga bulan lepas," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini sambil memaklumkan jenazah adiknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Tambak, Pintu Geng di sini selepas asar.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri berumur 40 tahun dan tiga anak berusia lapan hingga 22 tahun.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman berkata, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada sukan bola sepak di negeri ini.

Kelab Bola Sepak Kelantan United (KUFC) turut berduka dengan pemergian Saiful Nizam yang telah membawa imej sukan bola sepak Kelantan di pentas negara ketika zaman beliau beraksi.

"Bagi pihak pengurusan tertinggi kelab, jurulatih dan semua pemain merakamkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham.

"Kami mendoakan Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh," menurut KUFC menerusi satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham Saiful Nizam pernah bermain dengan pasukan Kelantan di posisi pertahanan dan namanya pernah beraksi bersama Zahasmi Ismail, Hardi Ahmad dan Roslisham Mohd Noor. - Bernama